NILAI – Kira-kira 700,000 majikan di seluruh negara dikesan masih lagi “berdegil” apabila tidak mendaftarkan pekerja mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Perkara itu didedahkan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed yang memberitahu, majikan terbabit telah melanggar Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan juga Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.
Beliau berkata, majikan terbabit telah melakukan kesalahan yang jika disabitkan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Majikan sepatutnya telah sedar tentang perkara ini. Apa yang ingin dikatakan, kita akan melakukan secara berterusan operasi di seluruh negara dan jika masih ada lagi yang belum mendaftar dan mencarum tindakan akan diambil terhadap mereka,” katanya pada sidang media selepas menyertai Ops Kesan peringkat Kebangsaan 2020 di sini hari ini.
Ops Kesan Kebangsaan 2020 merupakan satu operasi bersepadu bagi mengesan perusahaan yang gagal berdaftar di bawah Akta 4 dan Akta 800.
Kegagalan berbuat demikian adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Seksyen 14 dan 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2107 (Akta 800).
Terdahulu, Mohammed Azman melakukan flag off melepaskan pegawai-pegawai Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai tanda bermulanya operasi berkenaan selepas tempoh pemutihan selama sebulan tamat Sabtu lalu.
Dalam operasi yang dilakukan di pusat perniagaan di Nilai 3, Negeri Sembilan hari ini, sebanyak 160 buah premis perniagaan dilawati dengan 34 kompaun dikeluarkan kepada majikan atas kesalahan-kesalahan tertentu.
Semenjak 2009 hingga 31 Disember 2019, sebanyak 22,093 kompaun telah dikeluarkan di atas kesalahan gagal mendaftarkan perusahaan dan pekerja dengan nilai kompaun melebihi sebanyak RM16 juta.
Manakala dalam tempoh sama, sebanyak 14.650 tindakan pendakwaan telah diambil.
Ops Kesan yang dilakukan dari pintu ke pintu merupakan kemuncak kepada tindakan penguatkuasaan yang berjalan dari semasa ke semasa.
Pelaksanaan Ops Kesan ini juga turut dijalankan di semua pejabat Perkeso di seluruh negara.
Dalam pada itu, Mohammed Azman menegaskan pihaknya tidak akan melanjutkan tempoh pemutihan yang telah pun berakhir.
Katanya, tempoh tersebut telah tamat dan tiada sebab yang mewajarkan untuk ia dipanjangkan kerana ia bukanlah pilihan.
“Ini adalah tanggungjawab majikan, majikan perlu mendaftar perniagaan, daftar pekerja dan pekerja perlu dilindungi sama ada dibawah Perkeso atau KWSP.
“Ini bukan pilihan tapi ini diwajibkan. Jadi tiada sebab majikan mahu ingkar dan enggan mendaftar,” tegasnya. – MalaysiaGazette