Home Nasional Didominasi 3 parti Melayu, Malaysia tetap perlu diurus secara adil

Didominasi 3 parti Melayu, Malaysia tetap perlu diurus secara adil

Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Walaupun didominasi oleh tiga parti Melayu utama, Malaysia mesti diuruskan dengan pendekatan terangkum dan keadilan yang mana semua rakyat mempunyai hak, diberi keutamaan dan kepentingan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keutamaan memulihkan kedudukan ekonomi negara wajar menjadi keutamaan tertinggi.

“Masanya juga tiba untuk kita kembali bertaut sebagai sebuah bangsa dan negara.

“Apa yang berlaku seminggu dua ini, adalah lumrah dalam demokrasi yang semakin dewasa tetapi juga ‘volatile’.

“Kepada semua rakyat Malaysia, keutamaan kita adalah tanahair dan masa depannya.

“Setiap dari kita menyimpan cita-cita untuk Malaysia yang terbaik. Inilah persamaan yang selalu kita lupai.

“Jaminan masa depan Malaysia yang lebih baik itu tidak memerlukan pidato yang inspiratif, atau retorik yang menusuk kalbu.

“Ia memerlukan kerja keras, idea yang tulen dan keeratan kerjasama rentas kaum dan agama,” katanya di sini hari ini.

Tambah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu, sekarang terpulang kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan-rakan sekutunya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat setelah krisis politik di negara ini berakhir.

“Sesuatu yang mesti kita hargai dari semua episod ini ialah betapa matangnya rakyat Malaysia.

“Negara terus aman dan damai. Tiada yang ke jalanraya dan menunjuk rasa. Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong telah melaksanakan tanggungjawab seperti dibentangkan dalam Perlembagaan negara. Rakyat tidak panik dan bertindak keburuan.

“Terima kasih rakyat Malaysia kerana sikap sangat sabar dan bertanggungjawab ini. Anda semua adalah petunjuk sebenar bangsa yang berkemajuan,” ujarnya lagi.

Hari ini Muhyiddin memulakan hari pertama beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan selepas gabungan beberapa buah parti di bawah Perikatan Nasional berjaya menubuhkan kerajaan pada Sabtu lalu.- MalaysiaGazette