KUCHING – Dua nelayan warga Filipina berjaya diselamatkan para pekerja sebuah pelantar minyak milik Petronas kira-kira 140 batu nautika dari pantai Bintulu selepas hanyut selama 15 hari di tengah laut akibat enjin bot mereka rosak.
Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jaafar Salleh, 40, dan anaknya Jaisar, 24, diselamatkan kru kapal sokongan pelantar itu 20 Februari lepas, namun hanya dapat dibawa tiba ke daratan di Bintulu pada 9.30 pagi tadi berikutan keadaan laut bergelora yang berlarutan sejak dua minggu lepas.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kept Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, kedua-dua nelayan itu berasal dari Palawan, sebuah kepulauan di selatan Filipina yang terletak kira 330 batu nautika dari kawasan pelantar minyak lokasi mereka diselamatkan.
“Pihak kedutaan Filipina telah dimaklumkan berkait dengan penemuan dua orang rakyat mereka yang telah diselamatkan oleh pihak berkuasa di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya keadaan laut di perairan Bintulu buat masa ini masih lagi bergelora dan menasihati komuniti maritim untuk mengutamakan keselamatan pada waktu ini, sementara orang ramai diminta mengurangkan aktiviti riadah di pantai. – Bernama