Home Ek Kata Che Pah? Rupanya ke situ hilang duit ibu, BSN oh BSN!

Rupanya ke situ hilang duit ibu, BSN oh BSN!

Warga emas sering terkeliru dengan notis pemberitahuan ini sehingga menyebabkan mereka 'kehilangan' wang.

Marhaba.. Kala menurunkan tinta di ruangan ini, Che Pah baru sahaja balik dari Bank Simpanan Nasional (BSN) cawangan Muar.

Panas cuaca hari ini, panas lagi hati Che Pah dibuatnya. Panas dengan sistem BSN yang bagi Che Pah seolah tidak beretika dan bersifat “memeras” dalam baik kepada pelanggan mereka.

Kisahnya begini. Setibanya Che Pah ke Muar pagi tadi, Che Pah menerima panggilan telefon dari ibu angkat Che Pah yang menetap di Muar. Che Pah panggil dia dengan panggilan Ibu.

Kami saling bertanya khabar seperti biasa. Selepas berbual santai, ibu angkat Che Pah membangkitkan hal duit dia yang “hilang” di dalam akaun BSN.

Che Pah agak hairan. Masakan bank seteguh BSN boleh berlaku hal kehilangan duit penyimpan secara tiba tiba. Mustahil getus hati Che Pah.

Lantas seperti biasa Che Pah tanya letak duduk sebenar dulu. Yalah, tidak elok kita nak serkap jarang dan buat tuduhan melulu. Tidak pernah lagi dengar BSN terlibat dengan apa jua masalah kehilangan wang penyimpan.

Malah BSN merupakan bank paling ulung di negara kita. Che Pah masa kecil dulu pun menyimpan duit dalam BSN. Memang yakin sangat.

Maka Ibu mula bercerita. Ibu ibarat penglipur lara. Che Pah pula pendengar setia. Best jugak sesekali membawang.

Kata Ibu, pelanggan Ibu telah membuat kemasukan duit sebanyak dua kali ke dalam akaun BSN anaknya.

Maka apabila pelanggan Ibu telah memberitahu yang kemasukan duit telah dibuat, Ibu lantas pergi ke bank untuk membuat pengeluaran melalui mesin ATM.

Akan tetapi malangnya apabila sampai di mesin ATM untuk membuat pengeluaran, Ibu gagal mengeluarkan sepenuhnya wang yang telah di masukkan oleh pelanggan Ibu.

Hal ini berulang dua hari kemudian apabila pelanggan Ibu memasukkan bayaran kedua. Sekali lagi Ibu pergi ke bank untuk membuat pen geluaran secara tunai di mesin ATM.

Sekali lagi ibu terperanjat. Kering darah dibuatnya. Ibu hanya boleh mengeluarkan sebahagian sahaja bayaran yang telah di masukkan oleh pelanggan tadi.

Masalah itu Ibu ceritakan pada Che Pah. Che Pah jadi binggung juga. Mustahil duit boleh hilang dalam akaun. Bank tempat paling selamat. Lainlah kalau simpan bawah bantal atau dalam lubang tanah seperti dalam filem arahan P Ramlee, Ali Baba dan 40 Penyamun.

Che Pah tanya lagi. Bukan apa, cuma hendak dapatkan lebih banyak maklumat. Maklum wartawan. Kena gali habis habis. Baru puas. Jadi CSI la Che Pah kejap.

Nampaknya maklumat dari Ibu tidak memuaskan hati Che Pah. Kebetulan kakak ipar Che Pah memang seorang kakitangan BSN. Sepantas kilat tangan ini mendail nombor telefon kakak ipar Che Pah.

Che Pah ceritakan hal yang berlaku. Kakak ipar nasihatkan Che Pah agar pergi bersama Ibu ke BSN untuk mendapatkan penjelasan lebih terperinci berhubung duit yang dikatakan “hilang” itu.

Kakak ipar Che Pah kata berkemungkinan duit yang ” hilang” itu telah termasuk ke dalam akaun Sijil Simpanan Premium atau SSP.

Lantas Che Pah bawa Ibu dan anaknya yang juga pemegang akaun (anak Ibu ini orang kelainan upaya) ke BSN cawangan Muar.

Sesampai di BSN, Che Pah ambil nombor giliran. Kena tunggu. Di depan Che Pah sudah ramai yang menunggu. Dalam hati Che Pah kata birulah aku menunggu kat sini dengan pelanggan yang beribu ribu lemon ini.

Lantas Che Pah timbul idea untuk meminta pihak kaki tangan BSN beri laluan pantas untuk Ibu. Bukan apa, anak Ibu itu OKU. Takut dia tidak betah duduk lama.

Alhamdulillah kami dipanggil cepat. Itu pun setelah menunggu lebih kurang 30 minit. Setelah Che Pah cerita serba sedikit hal kejadian, kaki tangan di kaunter itu terus menjawap faham dan tahu tujuan Che Pah.

Rupanya kes Ibu ini bukan kes pertama. Kaki tangan itu menjelaskan banyak kali hal kesilapan ini berlaku. Hampir setiap hari.

Rupanya di mesin ATM BSN, apabila kita sudah memasukkan kad bertujuan membuat pengeluaran, akan tertera disitu pertanyaan adakah kita hendak membuat Simpanan di SSP.

Apabila kita menjawap ya, maka secara otomatik duit dalam akaun kita akan dipindahkan ke dalam akaun SSP.

Rupanya ke situ ” hilang” nya duit Ibu tadi. Yalah, Ibu Che Pah sudah berumur. Manalah dia faham apa kebendanya SSP itu. Dia main kata ya sajalah.

Jadi apabila keadaan ini berlaku, pelanggan terpaksa datang ke mana mana cawangan BSN untuk menuntut semula duit mereka dikeluarkan dari akaun SSP.

Dalam minda Che Pah berlegar seribu pertanyaan. Sistem apakah yang BSN guna pakai ini?

Ia seolah olah satu sistem “PAKSAAN” dan tidak keterlaluan jika Che Pah katakan “PEMERASAN”.

BSN telah bertindak mengelirukan penyimpan. Terutama penyimpan yang telah berumur seperti Ibu Che Pah. Jika orang muda, insyaallah mereka faham.

Apakah wajar tindakan BSN ini? Ini yang Che Pah persoalkan. Che Pah faham yang setiap bank konvensional akan bertungkus lumus untuk mencari dana mereka.

Salah satu cara BSN ialah melalui SSP. Akan tetapi dengan cara mengelirukan penyimpan Che Pah rasa bukan satu langkah yang beretika.

Setelah tersilap, penyimpan terpaksa datang ke BSN untuk membuat tuntutan bayaran balik. Che Pah difahamkan jika lambat membuat tuntutan, maka mereka terpaksa secara rela atau tidak menunggu sehingga selepas 45 hari sebelum duit itu boleh dituntut semula.

Sistem apakah ini? Tanpa persetujuan pelanggan, tanpa ada penjelasan untung atau rugi mereka membuat simpanan di SSP, tau tau duit ” dipaksa” masuk ke akaun itu.

Tidak cukup disitu, Che Pah tengok kaunter yang menguruskan pembayaran balik akibat kesilapan ini yang paling “panas”.

Macam lipas kudung pegawai yang menjalankan kerja itu menguruskan.Malah dia mengaku yang banyak kes terjadi setiap hari. Bayangkan semasa Che Pah ambil nombor giliran, sudah ada 23 orang dengan kes yang sama.

Itu waktu selepas jam 2 petang. Jika dikira dari pagi entah berapa ramai lagi mengalami masalah yang sama.

Bagi Che Pah ini sistem yang membuang masa. BSN terpaksa menyediakan pegawai khusus untuk melayan hal kesilapan SSP ini. Seorang pelanggan hampir 30 minit. Bayangkan berapa banyak masa yang dibuang untuk menghadap kes ini sepanjang hari, bulan dan tahun.

Lepas itu Che Pah perhatikan untuk satu kes tuntutan, BSN menggunakan tidak kurang dari 10 helai kertas untuk mencetak segala macam info.

Come on lah BSN. Bank lain sudah pun mengamalkan sistem sifar kertas. Takkan BSN masih di tahap mesin taip kot.

Che Pah nak bertanya dengan pihak atasan BSN, adakah anda rasa sistem ini efisien? Bukankah wajar anda menyemak semula mengapa kesilapan sering berlaku sehingga menyukarkan kakitangan anda sendiri dan penyimpan.

Kakitangan anda mungkin malas nak mengadu. Tetapi sedarkah pihak atasan BSN bahawa sistem simpanan SSP yang anda laksanakan di mesin ATM ini telah banyak menimbulkan kekeliruan dikalangan pelanggan dan kerumitan tugas buat kakitangan anda. Idea “bernas” siapa lah ya ni?

Pihak BSN harus ingat, pelanggan datang ke bank anda untuk mendapatkan urusan yang memudahkan mereka bukan menyukarkan. Mereka berurusan dengan anda kerana percaya dengan kecekapan tadbir urus bank anda.

Segera buat sesuatu sebelum pelanggan anda menjadi naga dan hantu yang bakal mencekik anda nanti.

Namun apa pun Che Pah ucapkan ribuan terima Kasih buat kakitangan BSN cawangan Muar. Mereka bertugas penuh dedikasi dan melayan Che Pah serta Ibu dengan baik.

Walau terdapat keluhan yang terbit dari bibir mungil pegawai kecil molek itu, dia tetap meneruskan tanggungjawab dengan cekap dan amanah. Tahniah. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.