KUALA LUMPUR – Pelakon Yana Samsudin kehilangan satu-satunya adik lelakinya yang meninggal dunia dalam tidur, petang semalam.
Allahyarham Muhammad Fahmi Harith baru bergelar bapa 37 hari lalu.
Yana berkongsi berita pemergian Allahyarham Muhammad Fahmi Harith di Instagram miliknya.
Dia meluahkan kesedihan kehilangan Muhammad Fahmi sedang menikmati pengalaman sebagai bapa selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.
“Rupanya hari ini, kehilangan adik..Ya Allah, macam mana hendak ada kekuatan diri. Satu-satunya lelaki dalam adik-beradik dan baru jadi ayah 37 hari.
“Dik, beritahu Nana yang hendak balik Yong Peng minggu ini sebab mahu sambut hari jadi sekali? Rupanya betul akak bawa engkau balik… Sekejap lagi kita jumpa Nana dan Fattah, emak, abah dan semua ya?
“Dik, kakak halalkan segalanya dunia akhirat. Dik, engkau seorang yang memudahkan urusan orang lain. Ada masalah diam, tiada masalah pun diam,” luahnya.
Yana sedih kerana adiknya meninggal dunia seorang diri di rumah dan tidak sempat meninggalkan pesan.
Pada entri itu, Yana memohon sesiapa yang mengenali arwah agar mengampunkan segala dosa serta menghalalkan makan dan minumnya selama ini. – MalaysiaGazette