MELAKA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menasihatkan orang ramai agar menghentikan aktiviti pembakaran terbuka susulan cuaca panas dan kering yang melanda negara ketika ini bagi mengelakkannya daripada merebak dengan pantas hingga sukar dikawal.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, panggilan kecemasan yang diterima pihaknya meningkat bagi kebakaran di kawasan tanah gambut dan tapak pelupusan sampah melibatkan tanah berkeluasan ratusan ekar.
“Ia termasuk Hutan Simpan Kuala Langat, Selangor dan Tapak Pelupusan Sampah Semeling, Kedah. Kita akan melakukan pemantauan di kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot berlakunya kebakaran selain melaporkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka kepada Jabatan Alam Sekitar.
“Kita harap orang ramai dapat bersama menjaga kepentingan alam sekitar dan mencegah kebakaran bagi mengelak asap tebal dan berlakunya jerebu serta udara tidak sihat yang memudaratkan kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, kira-kira 85 peratus daripada 6,500 bangunan di seluruh negara mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC) termasuk bangunan milik kerajaan, hotel, industri dan perniagaan yang tertakluk kepada Akta 341 Akta Perkhidmatan Bomba (APB) 1988.
Mohammad Hamdan berkata, masih terdapat segelintir pihak memandang remeh soal keselamatan kebakaran di bangunan terutamanya yang berisiko tinggi disebabkan kurangnya kesedaran terhadap kesan musibah yang akan berlaku di kemudian hari.
“Terdapat banyak bangunan yang ada pada hari ini dikesan telah diubah suai reka bentuk asalnya secara tidak sah termasuk komponen dan sistem kebombaan yang telah ditetapkan dalam Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 1984 selain tidak diselenggara dengan baik,” katanya.
Semua pemilik premis yang tidak mempunyai FC, katanya, telah diberi notis supaya mereka memohon sijil berkenaan dengan segera demi keselamatan penghuni. – Bernama