Home Nasional Kerosakan kabel TNB punca gangguan elektrik di Larkin

Kerosakan kabel TNB punca gangguan elektrik di Larkin

Pasukan teknikal TNB giat membaiki kerosakan pada kabel TNB di Jalan Dato Jaafar yang telah menyebabkan gangguan bekalan di sekitar Larkin pada 1:31 pagi 27 Februari lalu.

KUALA LUMPUR – Gangguan elektrik di kawasan Larkin membabitkan 8,000 pengguna pada 27 Februari lalu disebabkan kerosakan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Dato Jaafar (berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan).

Kejadian tersebut berlaku bermula jam 1.31 pagi hingga 4.47 pagi.

TNB dalam kenyataannya berkata, ia adalah kes yang keenam selepas kerosakan kabel TNB di antara pencawang masuk utama (PMU) Kajang dan stesen suis utama (SSU) MRT Kajang pada 19 Februari lalu, akibat kerja-kerja pengorekan pihak ketiga.

Kerosakan di di Kajang, Selangor itu, menyebabkan operasi Transit Aliran Massa (MRT) bagi laluan Sungai Buloh ke Kajang (SBK) tergendala seketika.

Menurut syarikat utiliti itu, sepanjang 2019, sebanyak 689 kes gangguan bekalan akibat kerja pengorekan pihak ketiga dilaporkan di Semenanjung dan menyebabkan ketidak selesaan kepada 530,000 pengguna.

Di Johor pula, sebanyak 56 kes gangguan bekalan elektrik dicatatkan membabitkan seramai 46,337 pengguna.

“Kami ingin mengulangi saranan kepada semua pihak yang menjalankan kerja-kerja pengorekan agar menghubungi TNB sebelum memulakan sebarang kerja,” kata Ketua Pengagihan Rangkaian Operasi TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood.

Jelasnya, semakan awal dengan TNB boleh mengurangkan risiko berlakunya kejadian kerosakan kabel bawah tanah TNB, seterusnya mengurangkan gangguan bekalan.”

Pihak kontraktor juga boleh memaklumkan kerja-kerja pengorekan yang bakal dilakukan melalui portal ‘Call Before You Dig’ (www.cbyd.com.my), tambah Wan Nazmy.

Portal itu membolehkan kontraktor menyemak dengan pembekal utiliti mengenai saluran kabel atau paip di kawasan kerja bakal dilakukan. – MalaysiaGazette