Home Utama Zahid Arip ‘dalang’ Langkah Sheraton – Syed Saddiq

Zahid Arip ‘dalang’ Langkah Sheraton – Syed Saddiq

Muhammad Zahid Md. Arip

KUALA LUMPUR — Datuk A. Kadir Jasin pernah mendakwa ramai pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) lebih percaya kepada cakap Setiausaha Politik kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mereka lebih percaya kepada setiausaha politik itu berbanding cakap Mahathir sendiri, kata Ahli Pimpinan Tertinggi Bersatu itu.

Bagaimanapun ramai masih tertanya-tanya mana satu setiausaha politik Tun M yang dimaksudkan kerana beliau ada dua pegawai memegang jawatan berkenaan.

Mereka ialah Abu Bakar Yahya dan Muhammad Zahid Md. Arip.

Bagaimanapun segala terdedah apabila ramai melihat Abu Bakar kekal bersama Mahathir manakala Muhammad Zahid pula kini menyebelahi kem parti di bawah Perdana Menteri baharu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malam tadi, Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan Muhammad Zahid merupakan dalang utama Langkah Sheraton pada 23 Februari lalu.

Menurutnya, beliau sendiri turut diminta menghadiri perjumpaan itu yang kononnya diarahkan Mahathir.

“Nama Tun Mahathir dipetik supaya pimpinan Bersatu menghadiri perjumpaan di hotel berkenaan, namun beliau kemudiannya menegaskan tidak tahu mengenai perjumpaan itu.

“Pengkhianat sebenar kepada apa yang berlaku adalah Muhammad Zahid kerana dia memetik nama Tun banyak kali supaya Ahli Parlimen Bersatu menghadiri perjumpaan malam itu,” katanya ketika berucap pada Program Penerangan Bersatu Kedah di Sri Mentaloon di Alor Setar, Kedah malam tadi.

Selain itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar itu mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga beberapa kali berjumpa Mahathir semasa kemelut politik itu berlaku.

Ahmad Zahid, katanya, mengadakan perjumpaan bersama Mahathir dan mengajak Bersatu dan parti itu bergabung.

Namun katanya, Mahathir tidak bersetuju menerima UMNO secara keseluruhan dan hanya bersedia menerima pemimpin UMNO secara individu.

“Mereka ini sudah mempunyai taktik sekiranya Tun Dr Mahathir bersetuju bekerjasama, mereka pasti mengugut Bersatu kerana UMNO, MCA dan MIC memiliki 42 kerusi Parlimen.

“Lihatlah sekarang, Perak dan Johor sudah dikuasai UMNO, sebab itu kita tak boleh bekerjasama kerana kita ada maruah. Saya juga harap semua orang akan setia dengan Mahathir kerana beliau yang menubuhkan parti ini,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tun M pertahan prinsip tapi PPBM ‘lebih dengar cakap sectpolnya’

1 Komen

Comments are closed.