Home Nasional Kerajaan baharu Melaka perlu selari dengan impian rakyat

Kerajaan baharu Melaka perlu selari dengan impian rakyat

Ahmad Bilal Rahudin
Ahmad Bilal Rahudin

KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri Melaka yang akan dibentuk semula dari gabungan baharu harus berdiri selari dengan impian rakyat yang mahukan perubahan.

Episod kelabu sepanjang pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sudah cukup menjadi iktibar pengajaran yang mesti disimpan sebagai sejarah, kata Ketua Dewan Pemuda Pas Melaka, Ahmad Bilal Rahuddin.

Beliau berkata, biarpun Melaka sebuah negeri kecil namun, namanya telah terpahat kukuh di serata ceruk rantau dunia dan kemasyhuran tidak harus hanya tersemat menjadi kenangan.

Katanya, Melaka mesti dipacu semula ke gerbang masa depan yang lebih berjaya dan dibina kembali di atas asas lebih kukuh dan sejahtera.

“Rungkaian terhadap tonggak-tonggak penting melibatkan agama, bangsa dan kedaulatan yang diusik secara tidak matang mestilah dipastikan tidak berulang.

“Keangkuhan dan biadab serta wewenangan, kronisme dan penipuan yang berlaku di bawah urus tadbir PH mesti dikebumikan tanpa bangkit menghantui.

“Perpaduan dan keharmonian rakyat mesti dipertaut secara kukuh semula, apatah lagi Melaka boleh menjadi ‘wajah Malaysia’ kerana kemajmukan pelbagai keturunan kaum, agama, budaya dan bahasa penduduknya.

” Keunikan ini boleh menjadi model membina bahagia dan aman, seterusnya sebagai bangsa sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Bilal menjelaskan, bagi memberdayakan rakyat tanpa mengira latar belakang, kebajikan dan keadilan mesti menjadi agenda utama pihak pemimpin kerajaan baharu.

Ujarnya, pemulihan ekonomi, merapat jurang kaya miskin, meningkatkan tahap pendidikan dan pembangunan seimbang mestilah menjadi iltizam dan komitmen yang perlu dijayakan.

“Pandangan sebagaimana dikemukakan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang itu diharap menjadi inti nasihat terpenting termasuk dalam membariskan saf kepimpinan baharu Kerajaan Negeri Melaka.

“Mestilah dilantik individu berintegriti, layak, mahir dan mewakili masyarakat majmuk di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, saranan Hadi supaya dilibatkan kalangan profesional yang akan meningkatkan segala fungsi urus tadbir negeri boleh didahului Melaka boleh menjadi contoh kepada lainnya.

Malah, cadangan fungsi hisbah dikemukakan tokoh ulamak itu jelas beliau, boleh menjamin integriti dan kepercayaan awam kepada pemimpin kerajaan.

“Kami mendoakan agar kepimpinan baharu kerajaan negeri Melaka diberi hidayah dan riayah serta pertolongan Allah S.W.T dengan kekuatan meneladani Rasulullah S.A.W agar amanah dibawa nanti diredhai serta mendapat dukungan rakyat seluruhnya,” katanya. – MalaysiaGazette