Home Utama RM2 juta seperti ‘wang poket’ saja – Tengku Adnan

RM2 juta seperti ‘wang poket’ saja – Tengku Adnan

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika hadir ke mahkamah atas dakwaan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MAC 2020

KUALA LUMPUR  Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan, beliau tidak perlu mengambil RM2 juta untuk kegunaan peribadi, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Menurut Bendahari UMNO itu, beliau sendiri merupakan ahli perniagaan yang cukup berjaya sebelum menceburi bidang politik dan nilai RM2 juta itu seolah-olah ‘wang poket’ bagi dirinya.

Ketika sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Hamzah di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan, Ahli Parlimen Putrajaya itu sekali menegaskan, wang yang diterima dari Pengarah Urusan Tan Sri Chai Kin Kong itu adalah derma politik.

“Ia (RM2 juta itu) tidak (mempunyai nilai terlalu tinggi). Bagi saya ia seperti wang poket sahaja,” katanya seperti dilapor oleh Astro Awani ketika ditanya adakah amaun yang dimaksudkan itu mempunyai nilai yang tinggi untuk beliau.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata, beliau telah mendahulukan wangnya sebanyak RM2 juta bagi kegunaan jentera pilihan raya Barisan Nasional sewaktu Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016.

Kata Tengku Adnan, sebetulnya, beliau menerima derma politik berkenaan seperti yang dijanjikan oleh Chai memandangkan ahli perniagaan itu merupakan rakannya sejak 30 tahun lepas.

Tengku Adnan Tengku Mansor ketika hadir ke mahkamah atas dakwaan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 MAC 2020

Bagaimanapun, sumbangan yang dijanjikan Chai tidak dapat direalisasikan dalam masa yang singkat untuk mengumpulkan wang sebanyak itu.

Susulan itu, Tengku Adnan berkata, beliau meminta Chai mengeluarkan cek atas nama syarikat beliau iaitu Tadmansori Holdings bagi menggantikan semula wang peribadinya yang digunakan untuk tujuan pilihan raya kecil itu.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, hanya derma politik terus ke Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn sahaja yang disimpan rekod kerana ia perlu diaudit, tidak seperti derma politik yang terus ke Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri.

Tengku Adnan Mansor menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan atas dakwaan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan empat tahun lalu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.