Home Nasional Jenazah ibu, bayi mati selepas bersalin selesai diuruskan Amalteam

Jenazah ibu, bayi mati selepas bersalin selesai diuruskan Amalteam

KUALA LUMPUR – Jenazah ibu dan bayi perempuannya yang sebelum ini dilaporkan meninggal dunia di rumah mereka selepas bersalin di Puchong kelmarin selesai dibedah siasat.

Kedua-dua jenazah dibawa keluar dari Hospital Serdang kira-kira pukul 1 petang tadi untuk dikebumikan.

Menurut pengasas Amalteam, Mohd. Zulhairi Zainol, pihaknya mengambil sedikit masa untuk menguruskan pengkebumian kerana perlu melalui beberapa proses dokumentasi memandangkan si mati adalah warga Indonesia.

“Hanya selepas mendapat dokumen dari pihak kedutaan barulah kami boleh mengeluarkan jenazah dari hospital.

“Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan di Putra Perdana untuk dikebumikan,” katanya pada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan kisah menyayat hati aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng apabila terpaksa berhadapan dengan kes seorang ibu dan bayinya yang meninggal dunia sewaktu kelahiran kerana tidak mampu mendapatkan rawatan di hospital.

Kuan berkata, segalanya bermula apabila beliau dihubungi seseorang yang memaklumkan sepasang suami isteri warga Indonesia sedang berhadapan dengan ‘kecemasan’ di sebuah rumah di sana.

Menurut Kuan, beliau kemudian berkejar ke rumah tersebut sebelum mendapati seorang wanita dalam usia 30an telah meninggal dunia.

Lebih menyayat hati, kata Kuan, bayi perempuan yang dilahirkan turut sama meninggal dunia dan berada di hujung kaki ibunya itu.

“Saya diberitahu oleh si suami yang dia bimbang ke hospital kerana tidak mempunyai wang yang cukup untuk membawa isterinya ke sana. Lalu dia mengambil keputusan membenarkan isterinya bersalin di rumah sahaja.

“Namun malangnya si isteri kemudiannya mengalami komplikasi sewaktu melahirkan bayi tersebut.

“Si isteri akhirnya meninggal dunia, bayi tersebut juga meninggal dunia sebaik sahaja dilahirkan,” katanya. – MalaysiaGazette.

ARTIKEL BERKAITAN:

Warga asing, bayi maut bersalin kerana tak cukup duit ke hospital di Puchong…