Home Nasional Muktamadkan pelantikan menteri, hormatilah penundaan Parlimen

Muktamadkan pelantikan menteri, hormatilah penundaan Parlimen

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penundaan takwim Parlimen bagi Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 telah daripada Isnin ini kepada 18 Mei depan dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan media menjelaskan penundaan itu mengambilkira pelantikan barisan menteri dan timbalan menteri yang sedang dimuktamadkan.

Katanya, penundaan juga sebagai memberi masa yang munasabah untuk barisan Kabinet memahami tugas kementerian dan jabatan masing-masing.

“Ia juga membolehkan menteri-menteri yang dilantik bersedia untuk menjawab soalan Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), pertanyaan lisan, perbahasan, pembentangan rang undang-undang dan usul-usul apabila parlimen bersidang.

“Penundaan turut memberi peluang kepada ahli-ahli parlimen untuk mengemukakan pertanyaan jawab lisan dan bukan lisan serta usul-usul baharu agar relevan dengan isu-isu semasa negara.

“Selain itu, ia juga bagi memastikan urusan-urusan pentadbiran di Parlimen berjalan dengan lancar,” sebut JPM dalam kenyataan tersebut.

Malahan tambah jabatan itu lagi, penyediaan Takwim Parlimen bagi Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 dilaksanakan berdasarkan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat yang berkaitan, dan ia turut disahkan teratur oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Institusi Parlimen hendaklah dihormati oleh segenap lapisan rakyat, termasuk oleh Ahli-Ahli Parlimen sendiri,” tegasnya.

Sebelum itu, semua pihak termasuk pemimpin Pakatan Harapan termasuk Lim Kit Siang mempesoal dan mendesak Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin segera mengadakan persidangan Dewan Rakyat pada tarikh asal yang ditetapkan bagi membolehkan PH membawa usul Undi Tidak Percaya terhadapnya.

Malahan, mereka meminta kerajaan baharu Perikatan Nasional memberi penjelasan sebab kenapa sidang Parlimen ditangguhkan kepada 18 Mei ini.-MalaysiaGazette