Home Nasional Siasatan usahawan kosmetik pukul anak siap minggu ini

Siasatan usahawan kosmetik pukul anak siap minggu ini

Pemandu kereta yang memandu melawan arus sehingga menyebabkan kecederaan dua penunggang motosikal di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) semalam rupa-rupanya dalam keadaan mabuk.- Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Siasatan kes seorang usahawan kosmetik yang didakwa memukul anak angkatnya berusia dua tahun pada bulan lalu akan selesai minggu ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis sudah merekodkan keterangan kesemua saksi yang terlibat dalam kes tersebut.

“Kita sudah merekodkan kenyataan semua saksi. Keterangan jutawan kosmetik itu juga sudah dirakam oleh pegawai penyiasat polis kami.

“Laporan lengkap siasatan kes berkenaan akan dilengkapkan dalam minggu ini,” katanya dalam kenyataan menerusi pesanan WhatsApp petang tadi.

Dalam perkembangan berkaitan tambah beliau, sejurus selepas kertas siasatan dilengkapkan, ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Ditanya sama ada kanak-kanak malang itu kini diletakkan dibawah suspek atau jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Nik Ezanee tidak mahu mengulas lanjut atas faktor keselamatan dan melindungi maklumat peribadi mangsa tersebut.

“Ini sahaja butiran yang saya dapat kongsikan setakat ini kerana ia melibatkan kanak-kanak,” tegas beliau.

Sebelum ini polis telah merakam keterangan empat lagi saksi yang berada di rumah usahawan itu di Petaling Jaya pada hari kejadian.

Berdasarkan maklumat pengadu, suspek memukul anak angkat yang berada di kediamannya sewaktu ingin merakam gelagatnya sedang menangis untuk publisiti.

Pengadu juga mendakwa suspek turut memanggilnya masuk ke dalam bilik kasut bersama anak angkatnya itu selain menyuruhnya memukul kanak-kanak terbabit, namun dia tidak mengikuti arahan itu kerana bimbang kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan.

Berikutan itu, pengadu kemudian membuat laporan polis kerana khuatir sekiranya turut dituduh memukul anak angkat suspek.

Dalam pada itu jutawan berkenaan yang merancang mengadakan satu sidang media pada hari ini telah membatalkannya pada saat akhir. – MalaysiaGazette