KUANTAN – Dua buruh warga Bangladesh maut selepas tertimbus tanah runtuh di sebuah tapak projek perumahan di Mentakab, Temerloh dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Yusri Othman berkata kejadian dipercayai berlaku pada 4.15 petang semasa kedua-dua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka sedang melakukan kerja-kerja menanam paip najis.
Mangsa dikenal pasti sebagai Md Shoriful, 43, dan Julhas Rahman, 27, berdasarkan maklumat lisan rakan sekerja mereka.
“Kedua-dua mangsa difahamkan berada dalam lubang yang dianggarkan sedalam enam meter dan terdapat dua jentera di atas yang melakukan kerja-kerja mengorek tanah.
“Timbunan tanah di bahagian tepi lubang dikatakan telah runtuh semasa kerja-kerja itu dilakukan dan menimbus mereka,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Mohd Yusri berkata rakan sekerja mangsa cuba untuk menyelamatkan mereka namun hanya mampu mengeluarkan seorang daripada mereka berikutan kewujudan tanah runtuhan yang banyak.
Beliau berkata pihak bomba berjaya mengeluarkan Md Shoriful pada 4.45 petang manakala mangsa kedua ditemui kira-kira 15 minit kemudian.
Jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk bedah siasat.
Setakat ini, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu, katanya.
— BERNAMA