KUALA LUMPUR – Sebuah bas persiaran yang membawa seramai 38 guru Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Jaya terlibat dalam kemalangan di persimpangan di KM42.6 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, dekat Bentong, malam tadi.
Kemalangan itu telah menyebabkan dua orang guru mengalami cedera parah manakala yang lain ada yang ditempatkan dalam keadaan kritikal dan separa kritikal .
Menurut sumber, bas tersebut dalam perjalanan ke Kota Bharu dan mengalami kerosakan brek menyebabkan ia tidak dapat dikawal lalu melanggar sebuah lori dari arah belakang.
Kata sumber tersebut, terdapat guru yang mengalami patah tulang rusuk, patah tangan dan kaki dan kini sedang dalam pemerhatian pihak hospital.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Kamarulzaman Jusoh mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu insiden berlaku pukul 11.50 malam.
Katanya, kejadian difahamkan berlaku selepas pemandu bas berusia 31 tahun cuba mengelak ke kiri jalan selepas mendapati brek bas itu gagal berfungsi.
Bagaimanapun, bas itu juga melanggar sisi kiri sebuah treler yang berada kira-kira 100 meter di depannya sebelum dapat dihentikan.
Kamarulzaman berkata, dua penumpang yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh manakala 3 yang cedera ringan dihantar ke Hospital Bentong. – MalaysiaGazette
Video Berkaitan: