KUALA LUMPUR – Pengerusi Komunikasi Strategik Amanah, Khalid Samad didesak meminta memohon maaf segera kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ahli Parlimen Shah Alam itu didakwa melemparkan fitnah tidak berasas ke atas Seri Paduka dalam proses pemilihan Perdana Menteri Kelapan pada 1 Mac lalu.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dalam status Twitternya menyifatkan ucapan Khalid yang mendakwa YDPA membuat keputusan pemilihan perdana menteri berdasarkan kaum adalah satu tuduhan melampau dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu perlu memohon maaf dengan kadar segera.
Kenyataan beliau menyusul selepas salah seorang pemilik akaun twitter bernama AyahandaMD@Ayahanda_MD memuat naik video ceramah Aktivis Pakatan Harapan di sebuah lokasi tidak diketahui yang menyaksikan Khalid Samad berucap dan mmpertikaikan mengenai keputusan YDPA dalam penentuan calon PM ke-8.
“Ucapan sahabat saya MP Shah Alam ternyata amat tidak benar dan memfitnah SPB YDPA.
“Ia satu hasutan dan penderhakaan.Angka-angka yang beliau beri adalah satu penipuan fakta. Menuduh YDPA membuat keputusan berdasarkan kaum adalah sangat melampau batas…elok pohon maaf segera,” kata dalam ciapan twitternya.
Reaksi beliau hadir susulan kenyataan Khalid dimuat naik di sebuah akaun Twitter bernama AyahandaMD dengan melampirkan rakaman video ringkas yang mengandungi ucapan Khalid.
AyahandaMD turut menyifatkan kenyataan Khalid yang mendakwa baginda menolak pencalonan PH disebabkan hanya 40 orang MP Melayu itu sebagai fitnah terhadap YDPA.
AyahandaMD juga mempersoalkan bila masanya Khalid menghadap YDPA.
Dalam video berdurasi 1 minit 17 saat itu, Khalid didengar sempat mengeluarkan kenyataan bahawa YDPA tidak yakin kerana 100 lebih itu hanya 40 sahaja orang Melayu dan yang bukan Melayu adalah 60 lebih ahli Parlimen. – MalaysiaGazette
Video Berkaitan: