KUALA LUMPUR – Pada awalnya, penganjur Malu Apa BossKu (MAB) untuk pertandingan boling memaklumkan Datuk Seri Najib Razak hanya hadir sekadar memberikan penampilan khas program itu.
Bagaimanapun, Najib yang juga bekas perdana menteri itu kelihatan begitu teruja untuk bermain boling bersama-sama pemain lain hari ini.
Malah beliau mengakui sudah lama tidak menyentuh bola boling apatah lagi bermain sejak lebih 20 tahun akhirnya dapat menghilangkan ‘ketagihan’ untuk terus bermain sehingga empat slot selama hampir dua jam.
Pada awalnya, Najib kelihatan ‘malu-malu’ apabila percubaan kali pertama masuk ‘longkang’ namun selepas itu beliau seperti tidak mahu berputus asa dan berterusan bermain sehingga ada kalanya berjaya strike dan spare.
Menggunakan bola bersaiz 13 berwarna oren, beliau seolah-olah tidak peduli dengan keadaan sekeliling sebaliknya menumpukan pada permainan sambil sesekali ketawa kecil melihat bolanya masuk ‘longkang’.
Ahli Parlimen Pekan juga sempat menyakat pemain-pemain lain di sekelilingnya ketika sedang bermain dan tidak meninggalkan pertandingan tersebut sehingga tamat empat slot tersebut.
Reaksi ceria bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas membuat balingan pada Kejohanan Boling Ulang Tahun MAB Official di Wangsa Walk, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 MAC 2020.Bekas pemimpin nombor satu negara itu juga kelihatan begitu cergas dan langsung tidak keletihan sebaliknya begitu bersemangat mengira pin yang dijatuhkan olehnya sambil sesekali tersenyum.
Beliau juga tidak langsung kekok untuk berjalan-jalan sambil menegur pemain-pemain lain di temani sesiapa.
Dalam pada masa itu, beratus-ratus orang termasuk yang menyertai pertandingan boling anjuran MAB buat julung kalinya serta pengunjung di pusat beli belah Wangsa Walk di Setiawangsa bergambar dengan Najib.
Ketika sampai sebelum pertandingan bermula, Najib juga sempat memberi ucapan kepada yang hadir itu dengan hampir kesemuanya adalah penyokong tegarnya.
“Kita lepas perasaan, lepas tekanan dengan main boling hari ini. Bermacam-macam isu yang sebenarnya menekan kita termasuklah kemelut politik yang melanda negara sejak beberapa minggu lepas.
“Juga tidak lupa dengan penularan Covid-19 ketika ini yang pastinya sangat membimbangkan. Jom, kita boling rama-ramai lupakan sejenak perasaan depress kita ya kawan-kawan,” katanya di ikuti tepukan gemuruh.
Selain daripada pertandingan, Najib juga sempat berjalan-jalan sekitar Wangsa Walk bertemu dengan orang ramai pelbagai lapisan masyarakat yang mengunjungi pusat beli-belah berkenaan. – MalaysiaGazette