Home Nasional Malindo bertindak salah potong 50% gaji pekerja

Malindo bertindak salah potong 50% gaji pekerja

nufam

KUALA LUMPUR – Tindakan syarikat Malindo Airways mengarahkan kakitangannya mengambil cuti tanpa gaji selama dua minggu dan potongan gaji sebanyak 50 peratus susulan wabak Covid-19 adalah salah di segi undang undang.

Sebaliknya, syarikat penerbangan itu perlu mengisytiharkan keperluan untuk pekerja diberi cuti jika adanya persetujuan dan had tempoh cuti untuk kakitangan hendaklah dinyatakan dengan jelas.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) menasihatkan Malindo agar tidak mengeluarkan sesuatu kenyataan tanpa kelulusan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan pengetahuan pekerja.

Tegas kesatuan itu, akta kerja juga menyebut dengan jelas tiada sebarang penolakan boleh dibuat, selain dari 4 perkara yang melibatkan :

1) Majikan telah terlebih bayar gaji jadi gaji bulan depan atau seterusnya boleh ditolak menepati jumlah yang terlebih tadi.

2) Penolakan gaji yang dibenarkan oleh undang-undang yang melibatkan Perkeso, Cukai Pendapatan dan potongan bayaran yuran atau hutang pinjaman.

3) Penolakan kerana pemberhentian yang tidak cukup notis dari pihak pekerja.

4) Penolakan gaji disebabkan oleh terlebih bayar yang diterima oleh pekerja dari majikan pada bulan tersebut dan pengurangan gaji pada bulan berikutnya.

“Undang undang juga menyatakan selagi syarikat itu masih beroperasi dan mendaftar di Malaysia Syarikat tersebut, ia masih tertakluk sepenuhnya di bawah Akta Kerja Malaysia 1955 dan Syarikat tersebut wajib patuh kepada undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, NUFAM mencadangkan agar Malindo Air tidak tergesa-gesa memotong gaji pekerja mereka sehingga 50% tanpa sebarang pengisytiharan defisit kewangan syarikat mereka.

Buat masa sekarang, syarikat hanya boleh mengesyorkan pekerja mereka mengambil cuti “sabatikal” dengan persetujuan dari pihak pekerja itu sendiri.

Mana-mana potongan gaji telah dibuat tanpa pengetahuan atau persetujuan pekerja, kakitangan tersebut boleh rujuk perkara tersebut ke JTK atau NUFAM. – MalaysiaGazette

 

Covid-19: Malindo Air potong gaji, galak pekerja ambil cuti tanpa gaji