Home Utama Profesional ketuai portfolio penting dalam Kabinet

Profesional ketuai portfolio penting dalam Kabinet

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Barisan Kabinet yang bakal diumumkan pukul 5 petang ini dijangka menyaksikan ‘orang luar’ dari politik dipilih untuk mengetuai portfolio penting.

Pemilihan golongan profesional itu bagi memastikan barisan Kabinet kali ini benar-benar dapat melaksanakan agenda transformasi ekonomi negara sekaligus menunaikan harapan rakyat.

“Tidak ramai ‘orang luar’ tapi cukup untuk memastikan pembentukan Kabinet yang mantap,” kata sumber kepada MalaysiaGazette.

Yang pasti, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu menunaikan janjinya melantik anggota Jemaah Menteri yang berintegriti dan bebas rasuah. Mana-mana individu yang sedang berhadapan dengan kes mahkamah tidak tersenarai dalam Kabinet kali ini bagi memberi ruang kepada mereka untuk membersihkan nama.

Untuk itu sudah pasti nama-nama seperti Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Tengku Adnan Mansor dan Datuk Seri Azeez Rahim tidak tersenarai buat masa ini.

Menarik juga Kabinet kali ini dikhabarkan akan membawa masuk agamawan untuk merencanakan hal ehwal agama secara profesional dan terurus.

Menyifatkan gabungan profesional, agamawan dan ahli-ahli politik di bawah bumbung Kabinet Muhyiddin sebagai #KabinetBekerjaMalaysia, harapan rakyat yang tertunggu-tunggu siapakah yang bakal berkhimdat untuk mereka akan ditunaikan sebaik mungkin.

Muhyiddin dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong jam 11 pagi ini dan akan membentangkan nama-nama anggota Kabinet di Pejabat Perdana Menteri pukul 5 petang nanti.

Ahli Parlimen Pagoh itu mengangkat sumpah jawatan perdana menteri pada 1 Mac selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan berikutan kehilangan sokongan majoriti ekoran kerajaan Pakatan Harapan runtuh apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keluar daripada gabungan tersebut. – MalaysiaGazette