KUALA LUMPUR – Keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewujudkan kembali Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mendapat sambutan baik institusi pengajian tinggi awam tempatan.
Universiti Perguruan Sultan Idris melihat tindakan Muhyiddin mewujudkan semula kementerian itu bagi memberi fokus kepada sektor pengajian tinggi dan memperkasakan Kementerian Pendidikan.
Langkah itu bertepatan dengan komplikasi situasi dalam menguruskan dua bidang pendidikan tersebut.
Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran menyifatkan langkah kerajaan itu sebagai tepat pada masanya dalamĀ memperkasakan pengajian tinggi di negara ini.
“Keputusan Perdana Menteri ini bertepatan dengan hasrat kerajaan menarik lebih ramai lagi pelajar antarabangsa untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi mereka melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan doktor falsafah,” kata Naib Canselor UPSI kepada MalaysiaGazette hari ini.
Justeru, beliau yakin dengan usaha Kerajaan Pusat memberi penumpuan khusus kepada pengajian tinggi menerusi kewujudan semula kementerian tersebut sebagai entiti asing dalam pendidikan.
“Bagi memberi tumpuan dan fokus kepemimpinan baharu, Menteri, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad mampu melonjakkan universiti-universiti awam dalam negara dan swasta sebagai hub pendidikan terkemuka di dunia.
“UPSI juga menyokong penuh keputusan Perdana Menteri dan mengharapkan kegemilangan universiti awam dan swasta lebih menyerlah pada masa mendatang.
“Sebagai universiti nombor satu pendidikan di negara ini, pada tahun ini UPSI mengorak langkah ke arah kecemerlangan peringkat antarabangsa bukan sahaja kakitangan malah pelajar dalam pelbagai bidang,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette