KUALA LUMPUR – Pembentukan Jemaah Kabinet baharu Kerajaan Perikatan Naisonal (PN) yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) semalam dianggap mampu melenyapkan badai politik sejak dua minggu lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berharap pergolakan politik kerana sentimen tertentu dapat dibanteras selepas ini dalam pentadbiran negara.
“Insya-Allah badai politik yang semata-mata kerana sentimen dapat dibanteras, tapi kita sama-sama kita berpijak pada bumi yang nyata.
“Kita katakan inilah Malaysia, negara kami yang dicintai, tanah watan yang kami mahu bina sebaik mungkin Insya-Allah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Zulkifli bersama empat Menteri dan Timbalan Menteri lain mengangkat sumpah sebagai senator di hadapan Speaker Dewan Negara, Tan Sri SA Vigneswaran, di bangunan Parlimen, hari ini.
Antaranya ialah Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Datuk Lim Ban Hong, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.
Dalam pada itu, Zulkifli menyifatkan pelantikan beliau sebagai Menteri Agama itu sebagai satu ujian dan amanah yang jauh lebih besar berbanding sebagai seorang mufti sebelum ini.
“Ini semua adalah kurniaan Tuhanku, dia nak uji aku, sama ada aku syukur atau aku kufur.
“Justeru ia merupakan satu Amanah dan tanggungjawab yang wajib dipikul dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Katanya lagi, beliau mengharapkan agar rakyat Malaysia dapat bersama-samanya untuk membina sebuah negara yang aman, damai dan makmur.
“Kami mengharapkan sejumlah besar doa daripada seluruh rakyat Malaysia untuk kita sama-sama bina sebuah negara aman damai makmur.
“Keharmonian berada pada tahap yang puncak sifat saling toleransi kasih sayang, rahmah dan saling hormat menghormati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
آمِيْنُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن
Semoga Allah memberi kekuatan kepada Mantan Mufti ini kekuatan untuk melawan hawa nafsu orang-orang politik yang ganas.
Pantau dan tegur juga pak-pak menteri yang dalam diri mereka tercatat sejarah hitam. Kalau mereka ini kotor campak jauh dulu ke laut.
Biarlah perbuatan atau percakapan mereka mempunyai nilai-nilai Islam sebenar dalam amalan politik baru