KUALA LUMPUR – Selepasnya tertubuhnya kerajaan baharu dan hari ini, barisan Kabinet akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, boleh dikatakan krisis peralihan kuasa yang melanda negara baru-baru ini sudah pun berakhir.
Dengan itu, Majlis Belia Malaysia merayu kerajaan supaya menyegerakan usaha untuk menyatukan semula seluruh rakyat yang sebelum ini berpecah-belah akibat perbezaan pendapat dan pandangan.
“Jangan ada yang tertinggal dan disisihkan semata-mata kerana berbeza pendirian sebagaimana penegasan Perdana Menteri dalam ucapan sulungnya bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua,” kata Presidennya, Jufitri Joha dalam satu kenyataan di sini.
Selain itu, MBM juga menggesa supaya barisan Kabinet yang telah dilantik segera menjalankan tugas masing-masing.
Tumpuan katanya, harus diberikan kepada usaha untuk memulihkan semula ekonomi, memberikan peluang pekerjaan, mengawal penularan Covid-19, membenteras rasuah dan salah guna kuasa, merapatkan semula perpaduan serta mereformasi institusi.
“Mereka perlu mengurangkan politiking dan mengungkit perkara-perkara yang lepas kerana harapan belia dan rakyat adalah amat terlalu tinggi kepada kestabilan politik dan ekonomi negara,” katanya lagi.
MBM juga mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Menurut Jufitri, latar belakang Reezal dalam pergerakan belia sebelum ini diharapkan dapat membangunkan golongan tersebut untuk lebih maju dan hebat.
MBM ujarnya, akan terus bekerjasama rapat dengan pihak kerajaan, khususnya Kementerian Belia dan Sukan untuk membangunkan belia dan negara. – MalaysiaGazette