PUTRAJAYA – Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengakui tanggungjawab yang bakal dipikul sebagai Menteri Sains Teknologi dan Inovasi bukanlah satu tugas yang mudah.
Bagaimanapun, katanya, amanah yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan diberikan fokus sebaik-baiknya seiring dengan keperluan dan kepantasan peredaran teknolgi.
“Tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ini bukanlah suatu tugas yang mudah.
“Bagi menempuh cabaran global dengan teknologi moden serba pantas selain daripada sasaran Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi, kementerian ini pastinya akan menjadi pemacu utama yang akan memandu Malaysia melepasi cabaran bagi mencapai sasaran tersebut,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi beliau hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau juga mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta seluruh kepimpinan UMNO-Barisan Nasional di atas ruang kepercayaan yang telah diberikan.
“Saya mohon sokongan dan dokongan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Kemunculan semula dengan bergaya sebagai Menteri Kabinet membawa keterujaan dalam kalangan netizen khususnya pemuda yang mana ribuan tahniah dan ucapan membanjiri ruang facebook beliau selepas memuat naik kenyataan rasmi yang pertama sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi petang tadi.-MalaysiaGazette