SUNGAI PETANI – Syarikat pengeluar produk minuman halal bumiputera, Al Haddad
Manufacturing Sdn. Bhd. (Al Haddad) melabur kira-kira RM7 juta untuk membangunkan sebuah kilang pengeluaran baharu berkonsepkan kompleks sehenti di Kawasan Perusahan Kejora sini.
Pengarah Urusannya, Syed Salahuddin Syed Mahayadin berkata, kilang baharu
tersebut yang terletak di kawasan seluas 0.4 hektar turut menempatkan pejabat
pentadbiran, galeri dan pusat jualan produk keluaran syarikat.
Menurutnya, pembinaan bangunan kilang itu bercirikan keislaman dengan mengambil
konsep seni bina Alhambra yang terkenal di Sepanyol itu bakal menjadi satu lagi
mercu pembangunan kilang milik bumiputera di utara tanah air.
Katanya, ia bukan sahaja menjadi pusat pengurusan dan pengeluaran
syarikat tetapi boleh dijadikan sebagai destinasi pelancongan kerana mempamerkan pelbagai produk keluaran syarikat.
“Kami melabur kira-kira RM7 juta untuk pembelian tanah dan pembangunan
kompleks kilang ini dan dijangka mula beroperasi pada akhir tahun 2021,” katanya selepas majlis pecah tanah kilang baharu itu di sini baru-baru ini.
Majlis pecah tanah kilang baharu itu disempurnakan oleh Penasihat Kumpulan Al
Haddad, Datuk Syed Mohd. Mahayadin Anuar Syed Akil.
Turut hadir Pengarah Al Haddad, Syed Ageel Syed Mohd. Mahayadin.
Antara produk utama keluarannya ialah Tamar Cocoa, Malt-Iq, Tamar Arabica
Coffee, Tamar Teh Hijau Latte dan Tamar Teh Tarik.
Al Haddad memulakan operasi perniagaannya pada tahun 2014 di tapak
asalnya di Kedah Halal Park Fasa 2, Kawasan Perindustrian Sungai Petani di sini.
Syed Salahuddin menjelaskan, melalui pembinaan kilang baharu itu, syarikat
berkeupayaan untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya kepada 50 tan
sebulan berbanding kira-kira 10 tan pengeluaran di kilang sedia ada.
Tambahnya, perolehan jualan juga dijangka bertambah kepada RM10 juta sebulan
berbanding sekitar RM3 hingga RM5 juta sebulan.
“Ini disumbangkan daripada pertambahan pengeluaran produk dikilang baharu
ini dan juga inisiatif kami mengeksport produk ke luar negara juga akan
meningkat.
“Pasaran sedia ada kami ialah China, Thailand dan Indonesia tetapi kini ia bakal
diperluaskan kepada rantau Balkan, Timur Tengah dan juga ke Afrika,”
jelasnya.- MalaysiaGazette