Home Ekonomi MTE ditubuhkan, pertimbang semula GST dan SST

MTE ditubuhkan, pertimbang semula GST dan SST

PUTRAJAYA-  Mesyuarat Kabinet pertama kerajaan Perikatan Nasional hari ini bukanlah satu acara suai kenal semata-mata.

Sebaliknya pertemuan sejak 9.30 pagi tadi itu terus sahaja membincangkan isu-isu besar berhubung hala tuju negara terutama berkaitan ekonomi memandangkan pelbagai cabaran yang sedang dihadapi sama ada dari dalam atau luar negara.

Mesyuarat yang berlangsung lebih tiga jam itu memutuskan supaya Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) dibentuk segera.

Ini bagi menangani semua cabaran ekonomi yang telah sekian lama menyebabkan perttumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlahan di samping kejatuhan harga minyak global melebihi 30 peratus yang sekali gus menjejaskan pendapatan negara serta impak penularan wabak Covid-19.

MTE akan dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama menteri kanan yang menjaga ekonomi iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamad.

Menurut Muhyiddin, MTE akan turut dianggotai oleh pakar-pakar lain yang akan dipanggil oleh kerajaan antaranya Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Yunus.

Cadangan atau hasil mesyuarat yang diadakan pada setiap Isnin itu perlu dibentangkan kepada Kabinet pada Rabu untuk diputuskan.

“Kita perlu mengambil tindakan segera ini tanpa berlengah. Kerajaan juga akan meminta pihak-pihak berkepentingan untuk memaklumkan atau berkongsi input dengan MTE.

“Ini adalah komitmen kerajaan terhadap rakyat, kerajaan tahu apa yang rakyat mau dan ini adalah isu-isu yang perlu diberi perhatian dan diselesaikan dengan segara,” tegasnya.

Tambah Muhyiddin, mesyuarat MTE minggu depan pastinya akan membawa agenda berhubung Belanjawan 2020 yang telah dibentangkan pada November tahun lepas susulan penurunan harga minyak global ketika ini.

Kerajaan Pakatan Harapan ketika itu merangka Belanjawan 2020 bersandarkan andaian harga minyak dunia adalah AS$62 setong sedangkan ketika ini harga komoditi itu berlegar sekitar AS$32.28 setong.

“Menteri Kewangan, Tengku Zafrul telah diarahkan untuk meneliti dan mesyuarat MTE minggu depan perkara akan dibentangkan. Apakah situasi kewangan negara yang semakin terjejas, sama ada perlu diselaraskan semula atau tidak, saya akan tunggu laporan daripada Menteri Kewangan,” katanya lagi.

Tambah Muhyiddin, kerajaan akan memberi pertimbangan kepada semua pilihan yang ada untuk meningkatkan pendapatan termasuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Cukai Barangan dan Jualan (SST).

“Kami akan melihat kepada semua opsyen, GST, SST (cukai barangan dan jualan), apa yang penting kita perlu cari keseimbangan di mana tidak terlalu membebankan rakyat tetapi dalam masa yang sama tidak memberi tekanan kepada kewangan kerajaan,” jelasnya.-MalaysiaGazette