PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein hari ini berkata beliau akan mencadangkan kepada negara-negara luar yang terjejas dengan Covid-19 untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung penularan virus itu.
Katanya, itu adalah satu langkah yang difikirkan wajar berdasarkan kepada hubungan baik Malaysia dengan negara-negara luar.
“Mengapa tidak kita kongsi dan cari kaedah terbaik untuk tangani Covid-19? Ini adalah isu yang akan saya bangkitkan dengan Menteri Luar China, Wang Yi dan Menteri Luar Singapura nanti.
“Ini kerana mereka adalah barisan negara pertama dalam melawan isu Covid-19 contohnya Emiriah Arab Bersatu di Timur Tengah. Ini yang saya nak ketengahkan dalam perbualan dengan Syeikh Abdullah Zayed nanti.
“Langkah yang baik untuk lakukan adalah dengan membawa masuk pihak yang handal dalam menanganinya dari negara luar. Itu yang saya akan lakukan bermula hari ini,” katanya dalam sidang media selepas memulakan hari pertamanya di Wisma Putra hari ini.
Ulas Hishammuddin, ini kerana Covid-19 telah menjadi isu utama dalam Mesyuarat Kabinet hari ini yang dilihat membawa kesan kepada negara.
“Wisma Putra akan mainkan peranan yang penting dalam menolong kerajaan malah dalam Mesyuarat Kabinet hari ini kita nak fokus kepada Covid-19 kerana beri kesan kepada ekonomi, psikologi rakyat dan jika tidak di tangani dengan sempurna kita akan berdepan akibatnya,” katanya.
Ditanya samada Wisma Putra akan bertindak membawa keluar rakyat Malaysia yang berada di negara-negara yang dijangkiti Covid-19, Hishammuddin berkata, ia sememangnya adalah keutamaan kementerian beliau.
Bagaimanapun, ia terpulang kepada Kabinet untuk membuat keputusan.
“Itu akan menjadi keutamaan kita, (rakyat Malaysia yang bekerja di negara yang terkesan dengan Covid-19).
“Keputusan (untuk pindahkan rakyat Malaysia) bukan keputusan Wisma Putra sebab itu keputusan Kabinet. Kita boleh kemukakan apa hasil siasatan kita kepada Kabinet dan ia adalah praktis yang terbaik daripada negara luar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette