PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata beliau memerlukan masa untuk mengkaji dan memahami beberapa dasar yang telah dilaksanakan oleh kementerian itu terlebih dahulu.
Menurut beliau, ruang masa perlu diberikan kepadanya bagi mendalami dasar-dasar terdahulu antaranya Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), tulisan Jawi dan Program Sarapan Pagi (PSP) yang telah direncanakan menteri terdahulu, Dr Maszlee Malik.
“Isu PPSMI, Jawi, sarapan pagi izinkan saya lihat dulu.
“Dalam keadaan pelbagai isu bagi timbul ini, apa yang penting kita pandang ke depan. Kita tidak mahu ditarik oleh isu-isu ini.
“Apa yang kita nak ialah untuk melihat ke depan apakah kaedah terbaik yang kita boleh lakukan untuk anak-anak kita,” katanya selepas melapor diri di Kementerian Pendidikan, hari ini.
Menyambut Ketua Penerangan Bersatu itu adalah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Mohd Gazali Abas dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dr Habibah Abdul Rahim.
Mengulas lanjut, Radzi berkata, tujuan beliau untuk mengambil masa bagi meneliti semua dasar itu adalah bagi memastikan pembelajaran pelajar tidak terjejas.
“Sebelum saya menyentuh sebarang isu izinkan saya mendalami betul-betul ke akar umbi, melihat kaedah terbaik untuk kita membawa pendidikan negara ke peringkat yang jauh lebih baik, sekarang harapan cukup tinggi.
“Saya rasa berbesar hati pada masa yang sama rendah diri kerana diberi satu amanah besar oleh Perdana Menteri, selaku Menteri Kanan untuk melihat bagaimana kita boleh melonjakkan pendidikan negara ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya lagi.
Radzi mengangkat sumpah jawatan Menteri Pendidikan semalam, selepas jawatan itu dikosongkan oleh Dr Maszlee Malik.
Maszlee meletakan jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada 2 Januari lalu selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. – MalaysiaGazette