PUTRAJAYA – “Saya bukan Ironman,” itu seloroh Datuk Seri Reezal Merican Naina yang juga Menteri Belia dan Sukan yang baharu.
Ironman merupakan kejohanan sukan ekstrem berprestij yang membabitkan disiplin berbasikal, berenang dan berlari yang perlu dihabiskan melebihi 10 jam dan sering disertai bekas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Menurut bekas Timbalan Menteri Luar itu, pelantikannya satu perkara yang tidak pernah terlintas pada fikirannya sebelum ini.
Ahli Parlimen Kepala Batas itu menyifatkan pelantikannya sebagai satu kejutan memandangkan latar belakangnya sebelum ini daripada Kementerian Luar.
Namun beliau yakin kepercayaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke atas dirinya kerana pernah memiliki pengalaman sebagai pemimpin belia.
“Dalam Kabinet hari ini, ada lima bekas menteri daripada kementerian ini termasuk Perdana Menteri, sudah tertentu ia kementerian yang cukup dinamik.
“Saya akan bekerja sebagai pasukan dengan warga kementerian dan memastikan dasar-dasar yang dirancang sebelum ini di mana memberi manfaat kepada pihak kepentingam iaitu belia dan sukan akan diteruskan,” katanya kepada media selepas memasuki kementeriannya pada hari pertama di sini hari ini.
Beliau yang tiba pukul 12.45 tengahari disambut timbalannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Dr. Waitchalla R R V Suppiah sebelum diberi taklimat hampir satu jam.
Ditanya sejauh mana minatnya dalam bidang sukan berbanding lebih terserlah sebagai pemimpin belia, Reezal menyifatkan usianya 47 tahun bukan sebagai satu penghalang.
“Masa mula dilantik, saya terfikir adalah saya out dated di kementerian ini? Tapi saya berusia 47 tahun walaupun mungkin wajah saya nampak berusia daripada umur sebenar saya.
“Namun saya saya periksa, saya adalah Menteri Belia dan Sukan yang paling muda di rantau Asean. Singapura 52 tahun, Thailand 54 tahun dah Jepun serta Korea pun usia 50 tahun ke atas,” katanya. – MalaysiaGazette