KUALA LUMPUR – Perbicaraan membabitkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang masuk hari ke-14 di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bermula dengan keadaan sedikit tegang sebentar tadi.
Ini kerana peguam, Datuk Akberdin Abdul Kadir ketika meyambung pemeriksaan balas terhadap saksi pendakwaan ke-12 iaitu bekas Ketua Setiausaha (KSU) KPM Datuk Seri Alias Ahmad, menuduhnya korup.
Malah Akberdin juga mengasak dengan suara tinggi dan berterusan mendesak saksi yang juga kelihatan sedikit ‘terganggu’.
Peguam itu juga menuduh Alias Ahmad mempunyai kepentingan dalam projek solar hibrid itu sebenarnya.
“Saya cadang kepada kamu, kamu sememangnya mempunyai ‘vested intrest’ dalam projek solar, kamu sebenarnya korup,” tegas Akberdin.
Namun dengan suara perlahan, Alias Ahmad berkata ‘tidak’ dengan tuduhan tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan mencelah dan menegur Akberdin sambil mengingatkan beliau Alias Ahmad hanya sekadar saksi serta bukannya tertuduh untuk diperlakukan sedemikian rupa.
“Saksi bukanlah tertuduh untuk kamu asak begitu. Beliau bukan yang dibicarakan,” tegur Mohamed Zaini.
Akberdin kemudian akur dan menyambung soal balasnya dengan Alias Ahmad.
Semalam, Alias yang memegang jawatan tersebut dari Sept 2016 sehingga bersara pada Mei 2018 membuat pengakuan di mahkamah kegagalan untuk melaksanakan pengurusan nilai bagi projek itu kerana tidak mematuhi peraturan.
Dakwa beliau peraturan ditetapkan Unit Perancangan Ekonomi dan bercanggah dengan prinsip tadbir urus yang baik di bawah Pekeliling Perbendaharaan.
Akberdin dalam pada itu, juga menuduh Alias seolah-olah menunjukkan minat yang lebih ‘mendalam’ berbanding dengan kontraktor sedia ada dalam projek hibrid berbilion ringgit itu.
Malah dakwa Akberdin, Kementerian Pendidikan menunjukan minat serta perhatian dalam mendapatkan bayaran pendahuluan bagi Jepak Holdings jika hendak dibandingkan dengan syarikat itu sendiri.
Bagaimanapun, saksi tetap menggelengkan kepala sambil menafikan semua dakwaan itu.
Mohamed Zaini kemudian menangguhkan prosiding dan akan bersambung pada 6 April depan.
Rosmah ketika ini sedang berdepan tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor.
Ia sebagai dorongan untuk membantu Jepak mendapatkan projek mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Penjana/Diesel bagi sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus. –MalaysiaGazette