KUALA LUMPUR – Tan Sri Leo Moggie mahu legasi dan tradisi kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) diteruskan bagi memacu kemajuan negara di masa depan.
Berucap di majlis meraikan persaraannya sebagai beka sPengerusi Bukan Eksekutif TNB berkata, kemajuan industri elektrik di negara ini adalah hasil tugas dan amanah yang dilaksanakan warga kerja Lembaga Letrik Negara (LLN) dan TNB, dari dahulu sampai sekarang ini.
”Andalah yang memastikan cahaya sentiasa menerangi kehidupan kita,” katanya yang menyatakan penghargaan kepada warga kerja LLN/TNB.
Moggie mulai bersara bermula hari ini selepas 16 tahun memimpin TNB sebagai Pengerusi, menjadikan beliau individu paling lama memegang jawatan itu di TNB.
“Sepanjang 16 tahun saya berkhidmat, saya rasa bertuah kerana disokong oleh warga kerja, kesatuan, pihak pengurusan dan lembaga pengarah dalam memastikan TNB melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik dan profesional,” jelasnya.
Anak kelahiran Kanowit, Sarawak itu memegang portfolio Menteri Kabinet selama 26 tahun bermula 1978 selepas menjadi Menteri peringkat negeri Sarawak (1976-1978).
Jawatan terakhirnya dalam Kabinet adalah sebagai Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia (1998-2004), sebelum memulakan khidmatnya sebagai Pengerusi TNB bermula April 2004.
Moggie akan digantikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir yang dilantik sehingga 11 Mac 2023.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengalaman luas Moggie dalam industri tenaga memberi manfaat yang besar kepada TNB sejak beliau dilantik pada tahun 2004.
Sebagai mengenang jasa Moggie, beliau mengumumkan nama pusat konvensyen baharu yang sedang dibina di Kampus Ibu Pejabat TNB Bangsar sebagai Pusat Konvensyen Tan Sri Leo Moggie.
“Dengan siapnya pusat konvensyen tersebut pada penghujung tahun hadapan, nama Tan Sri akan sentiasa terpahat di hati setiap warga kerja TNB,” tambah Amir. – MalaysiaGazette