KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengetuai Pakatan Harapan (PH) dalam usaha untuk mendepani Perikatan Nasional (PN) yang kini menjadi kerajaan.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata sudah tiba masanya untuk Anwar mengepalai PH dalam mempertahankan mandat rakyat yang dikhianati oleh Perikatan Nasional.
“Wajarlah untuk Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan mengetuai usaha untuk mempertahankan mandat rakyat dan berhadapan dengan Perikatan Nasional.
“Semoga ahli-ahli Parlimen lain yang kekal berprinsip dan tidak mahu bersekongkol dengan pembelot dapat kekal bersama dengan perjuangan PH dan mendokong kepimpinan Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Akmal berkata PH perlu konsisten dengan prinsip dan perjuangan bagi mempertahankan hak dan kepentingan rakyat.
Malah katanya PN akan terus dihambat isu pengkhianat kerana tidak menafikan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu.
“Kedudukan Perikatan Nasional sebagai sebuah kerajaan semakin rapuh dengan pengkhianatan terhadap mandat rakyat tanpa komitmen dan halatuju yang jelas.
“Perebutan politik di kalangan mereka akan terus berlaku dalam keadaan negara berdepan dengan situasi ekonomi yang tidak menentu dan ancaman wabak Covid19,” katanya lagi.
Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad. -MalaysiaGazette
Bagus tu.. Jadi kepaler ph… Dan bakal pm selamanya.