KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini melantik Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung parti yang baharu menggantikan Tan Sri Annuar Musa.
Annuar kini memegang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dalam Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Ahmad yang merupakan Ahli Parlimen Pontian merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang jawatan itu.
“Saya akan melaksanakan amanah sebaik mungkin untuk UMNO dan rakyat demi agama dan negara.
“UMNO adalah perjuangan dan parti politik terbesar di negara ini di mana saya menyertainya sejak 1989,” katanya selepas mesyuarat MKT Khas di Menara Dato’ Onn hari ini.
Ahmad menambah pelantikan itu tidak menghalang hasratnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang berkaitan dasar ekonomi dan kewangan.
Jelas bekas Ketua Penerangan UMNO itu, beliau memilih Universiti Utara Malaysia kerana pasportnya masih ditahan di mahkamah.
Selain itu, Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan pula dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO baharu menggantikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Sementara itu, Annuar yang merupakan Ahli Parlimen Ketereh dalam catatan terbaharu di Twitter miliknya berkata, pelantikan itu telah dipersetujui kesemua ahli MT dan Ahmad Zahid.
“Presiden UMNO mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Maslan sebagai SUA UMNO yang baharu menggantikan saya, dan saudara Shahril Hamdan sebagai Ketua Penerangan menggantikan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
“Kepada kedua dua mereka kita ucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette