Home Nasional Umat Islam di Putrajaya solat Jumaat seperti biasa

Umat Islam di Putrajaya solat Jumaat seperti biasa

Orang ramai menunaikan solat Jumaat seperti biasa berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Umat Islam sekitar Putrajaya hari ini menunaikan solat Jumaat seperti biasa, walaupun ada negeri melarang berbuat demikian berikutan penularan wabak Covid-19.

Ruang solat di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal penuh dengan jemaah terutama kakitangan awam yang bekerja di beberapa kementerian berdekatan dengan masjid itu.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati, pihak masjid turut menyediakan cecair hand sanitizer (cecair pembasmi kuman) sebagai langkah pencegahan, selain segelintir jemaah memakai topeng penutup mulut.

Kelihatan seorang jemaah memakai topeng mulut dan hidung semasa menunaikan solat jumaat berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MAC 2020.

Teks khutbah Jumaat juga lebih pendek dari sebelum ini, dengan khatib mengingatkan kepada jemaah agar lebih berhati-hati dengan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Sehingga kini, belum ada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh kerajaan berhubung larangan menunaikan solat Jumaat.

Namun semalam, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) mengumumkan solat Jumaat hari ini diganti dengan sembahyang Zohor di rumah selepas mengambil kira situasi semasa penularan Covid-19.

MAIPs menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail. – MalaysiaGazette