KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan yang baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kementeriannya memiliki banyak rahsia yang tidak boleh didedahkan kepada umum.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, ia berbeza dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang diterajuinya sebelum ini apabila beliau perlu berkongsi semua informasi bersama rakyat.
Namun jelas beliau, pelbagai program mendekati orang akan diatur selepas ini bagi memastikan kementeriannya tidak bersifat eksklusif.
“Saya tidak boleh maklumkan kerana kesiapsiagaan kementerian lakukan adalah strategi yang dirahsiakan. Di sini saya kena banyak berahsia berbanding kementerian dahulu.
“Namun program bersama rakyat tiada rahsia seperti gotong-royong di bawah Jiwa Murni di mana kita akan perhebatkan lagi. Program lain seperti membersih masjid dan membaiki rumah yang usang di kampung-kampung.
“Program lebih besar membina jalan di kampung kerana kita ada unit kejuruteraan yang boleh membantu termasuk membina jambatan,” katanya pada sidang media selepas kali pertama mempengerusi mesyuarat kementerian di Wisma Pertahanan di sini hari ini.
Mengenai mesyuarat pertamanya dengan pegawai tertinggi kementerian termasuk Ketua Setiausaha Muez Abd Aziz dan Panglima Angkatan Tentera, Affendi Buang, Ismail berkata, beliau diberi taklimat mengenai kesiapsiagaan tentera di negara ini
Mereka juga membincangkan bagaimana langkah-langkah pertahanan negara dapat dipertingkatkan, serta kebajikan anggota tentera dan pesara tentera.
“Satu lagi perkara yang kita bincangkan adalah mengenai hubungan kita dengan rakyat (awam).
“Kami tertarik tentang slogan ‘Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada’ dan program bersama rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette