Home Dunia PBB kurangkan kedatangan kakitangan ke pejabat

PBB kurangkan kedatangan kakitangan ke pejabat

Antonio Guterres . foto Agensi

NEW YORK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengurangkan kehadiran kakitangannya di ibu pejabatnya di New York selama empat minggu, bermula hari Isnin ini.

Arahan itu dibuat setelah seorang diplomat Filipina menjadi orang pertama di badan dunia itu positif Covid-19.

Kakitangan PBB akan disediakan untuk perkhidmatan penting di kampusnya Manhattan untuk terjemahan dan keselamatan, tetapi tidak jelas sama ada langkah itu akan membabitkan pembatalan mesyuarat.

Majlis Keselamatan PBB yang terdiri daripada 15 anggota dijangka bertemu setiap hari minggu depan bagi membincangkan isu-isu membabitkan Syria, Korea Utara dan Libya.

“Tujuan kami untuk mengurangkan kehadiran fizikal di Ibu Pejabat PBB namun mandat kami akan terus disampaikan, “kata Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres dalam surat kepada negara-negara anggota pada hari Jumaat.

Katanya, dalam situasi semasa sangat penting untuk mengurangkan hubungan sosial dan ikut arahan Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk meminimumkan risiko penularan jangkitan.

PBB telah pun mula melaksanakan langkah-langkah pencegahan koronavirus di ibu pejabatnya minggu ini, termasuk menutup kepada orang awam, pembersihan yang lebih kerap dan membatalkan beberapa mesyuarat.

Jurucakapnya, Stephane Dujarric berkata, bilangan orang yang masuk setiap hari telah susut separuh hingga kira-kira 5,300, antara 4 Mac dan 11 Mac dan terdapat penurunan yang curam pada hari Jumaat. – MalaysiaGazette