Home Dunia Covid-19: Rakyat Itali menyanyi dan menari di balkoni tingkatkan motivasi

Covid-19: Rakyat Itali menyanyi dan menari di balkoni tingkatkan motivasi

Seorang wanita berdiri di tingkap rumahnya dan bernyanyi sebagai menghilangkan tekanan dan mengembalikan keyakinan menghadapi covid-19 di negara mereka yang mengisolasikan diri masing masing sehingga 3 April ini.

ROM – Satu video tular di media sosial menunjukkan rakyat Itali bernyanyi dan menari di rumah mereka ketika negara sedang melalui fasa sekatan darurat akibat penularan Koronavirus 2019 atau Covid-19.

Video berkenaan menunjukkan suasana di beberapa bandar dan wilayah yang mana rakyat Itali menyanyi di balkoni dan tingkap rumah sebagai menambah semangat dan keyakinan diri menghadapi virus yang diisytihar pandemik itu.

Semua jenis aktiviti perniagaan termasuk kedai-kedai dan restoran masih ditutup di seluruh negara itu.

Itali merupakan salah satu negara paling teruk terjejas akibat Covid-19 dengan 17,660 kes disahkan setakat ini.

Manakala sebanyak 1,266 kematian direkodkan berdasarkan data terbaharu yang dikeluarkan Universiti Johns Hopkins.

Ada juga video yanag dikongsi di laman Twitter oleh seorang warga negara Itali menunjukkan jirannya menyanyi lagu patriotik atau lagu kebangsaan Itali di Wilayah Tuscany di pusat ibu kota negara tersebut.

Pengguna akaun Twitter Valemercurii berkongsi video jiran bernyanyi di rumah mereka.

Ciapannya berbunyi: “Rakyat kampung halaman saya di Siena menyanyi lagu popular dari rumah mereka di lorong perumahan yang sunyi sepi waktu malam sebagai menenangkan hati dan fikiran mereka ketika berdepan ancaman Covid-19”.

Ia juga disifatkan kaedah untuk memastikan komuniti yang dikuarantin di rumah masing-masing itu tidak kesepian apabila ada segelintir penduduk di Naples berdiri di balkoni dan tingkap menyanyikan lagu dalam bahasa Latin Itali bertajuk “Abbracciame” yang bermaksud peluk saya.

Pada Rabu lalu, Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte berkata hanya pasararaya besar dan farmasi sahaja dibenarkan beroperasi setelah perintah sekatan aktiviti luar dikenakan ke atas rakyat sehingga 3 April ini.

Selain itu sekolah, muzium, universiti, dan pawagam turut ditutup di seluruh negara.

Pengguna Twitter bernama Ryan Meilak berkongsi video yang menunjukkan rakyat di perumahan flat di Naples berdiri di balkoni kediaman masing masing dan menyanyikan lagu bertajuk ‘Peluk saya” atau dalam bahasa Itali Abbracciame sebagai menghilangkan tekanan dan mengembalikan keceriaan di wajah setiap penghuni. -MalaysiaGazette