KUALA LUMPUR – Semua pertubuhan belia diarahkan agar menungguhkan pelaksanaan sebarang Mesyuarat Agung Tahunan sehingga 30 April 2020.
Arahan itu kepada pertubuhan belia yang telah berdaftar di bawah Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 sebagai langkah membendung penularan pandemik Covid-19.
Tindakan itu menyusul selaras dengan arahan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada 13 Mac lalu berkaitan penangguhan atau pembatalan perhimpunan, program atau sebarang acara belia dan sukan bagi membendung penularan Covid-19.
“Keputusan ini akan diteliti semula sekiranya situasi COVID- 19 bertambah baik,” kata Pendaftar Pertubuhan Belia Kementerian Belia dan Sukan dalam kenyataan media hari ini.
Dalam perkembangan sama, jabatan itu berkata, keputusan dan peringatan pematuhan arahan ini diambil atas faktor keselamatan dan kesihatan khususnya para belia yang terlibat di pelbagai peringkat bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19 yang semakin menular.
“Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia juga mengambil maklum langkah-langkah proaktif yang telah diambil sebelum ini oleh beberapa Pertubuhan Belia yang menangguhkan serta membatalkan program mengikut kesesuaian setelah mengambil kira nasihat daripada pihak berkuasa khususnya Kementerian Kesihatan,” tegas agensi itu lagi.-MalaysiaGazette