KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini telah menangguhkan pendengaran kes membabitkan peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang sedang menghadapi dua pertuduhan wang haram berjumlah RM9.5 juta.
Wang tersebut didakwa telah diterima daripada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak selain Muhammad Shafee juga menghadapi penyata palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Bagaimanapun tarikh untuk pendengaran kes tersebut telah ‘dilapangkan’ sehingga 30 April ini bagi memberi laluan kepada dua kes berprofil tinggi yang melibatkan Muhammad Shafee sebagai peguambela dan Najib sebagai tertuduh.
Kes tersebut ialah SRC International Sdn Bhd melibatkan nilai penyelewengan RM42 juta manakala satu lagi 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) membabitkan RM2.3 bilion.
Ketua pasukan pendakwaan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata, Mahkamah Tinggi membenarkan penangguhan itu bagi perbicaraan 1MDB dan kes pembelaan SRC International yang sedang dibicarakan pada masa ini.
“Mahkamah menetapkan 30 April untuk sebutan semula bagi membolehkan kami memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkembangan kes-kes lain dan mahkamah akan menetapkan tarikh baharu,” katanya selepas kes Muhammad Shafee itu disebut di dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin hari ini.
Pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz manakala peguam Sarah Abishegam dan Nur Syahirah Hanapiah mewakili Muhammad Shafee.
Mahkamah Tinggi menetapkan 16 hari ini bermula 9 hingga 13 Mac, 30 Mac hingga 2 April, 12 hingga 14 Mei serta 18 hingga 21 Mei bagi mendengar kes berkenaan pada Julai tahun lalu.
Muhammad Shafee sebelum ini dituduh membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.
Peguam itu didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 Sept 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Feb 2014. -MalaysiaGazette