KUALA LUMPUR – Walaupun bukan lagi menjadi perdana menteri namun Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap mahu mengingatkan rakyat mengenai bahaya pandemik Covid-19.
Justeru atas kapasiti sebagai doktor perubatan, beliau rasa bertanggungjawab menasihati rakyat Malaysia berhubung perkara berkenaan.
Beliau kesal dengan sikap sebilangan rakyat di negara ini yang masih dilihat tidak serius dan berdisiplin untuk menangani wabak yang telah ‘menyerang’ seluruh dunia itu.
“Saya lihat keadaan di Malaysia nampak seolah-olah orang Malaysia tidak serius tangani Covid-19.
“Kalau kita tak berjaga-jaga, ia akan terkena ribuan rakyat Malaysia dan ramai meninggal kerana penyakit ini,” ujarnya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui media sosialnya hari ini.
Beliau mahu orang ramai mengurangkan aktiviti luar dan berkumpul beramai-ramai dan ia perlu dilakukan serta-merta.
Menurut Mahathir, pandemik itu luar biasa kerana sangat mudah merebak dan mudah berjangkit dan sejak dikesan di China ia kini merebak sampai ke Amerika Syarikat.
“Kalau kita menempuh dan dekat dengan pesakit mungkin kita dapat sakit. Orang sakit tak pakai pakai mask, dia batuk atau bersin, kita dapat.
“Cara elak kita mesti jauhkan diri orang yang menghidapnya,” katanya lagi.
Walaupun sukar bagi orang ramai mengurangkan aktiviti luar dan bakal menghadapi tekanan namun baginya ia cara terbaik membendung Covid-19 yang belum ada vaksinnya lagi sehingga hari ini.
Mahathir juga menyarankan supaya solat berjemaah di masjid dihentikan sementara bagi menangani perkara yang sama kerana untuk bersolat orang ramai terpaksa berdiri rapat antara satu sama lain.
“Saya berpendapat adalah penting kita elak berkumpul ramai-ramai termasuk bila kita solat jemaah kita rapatkan diri dalam satu saf ini bermakna kalau ada sesiapa sakit dia akan jangkit kepada kita
“Saya bukan hendak tolak ibadat tapi saya fikir untuk keselamatan diri, kalau berdekatan dengan orang yang ada penyakit ini, merbahaya.
“Saya bukan ulama tapi seperti mana yang tahu, kita solat hajat, minta Allah selamatkan, dalam al-Quran, Allah tak makbulkan doa kita kalau tidak buat untuk diri kita,” katanya.
Beliau juga sedih kerana penularan Covid-19 memberi kesan buruk kepada ekonomi terutama sektor pelancongan namun ia sesuatu yang terpaksa dihadapi sekarang.
Dalam pada itu, Mahathir juga mengucapkan terima kasih kepada kakitangan hospital dan Kementerian Kesihatan yang menjadi barisan hadapan menangani Covid-19.