WASHINGTON – Perang mulut antara China dan Amerika Syarikat tidak menunjukkan tanda-tanda reda selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo dalam panggilan telefon dengan seorang diplomat China menyatakan “bantahan kuat” terhadap tuduhan Beijing yang mendakwa koronavirus disebarkan oleh Washington.
Hubungan tegang antara dua negara utama dunia semakin rumit disebabkan oleh isu-isu termasuk perdagangan, hak harta intelektual serta kebebasan akhbar, telah diuji lagi dengan wabak koronavirus.
“Setiausaha Pompeo menyampaikan bantahan kuat AS terhadap tindakan China yang menyalahkan penularan Covid-19 kepada Amerika Syarikat,” kata Morgan Ortagus, jurucakap Jabatan Negara dalam satu kenyataan mengenai panggilan yang dibuat Pompeo ke atas Yang Jiechi, Pengarah Pejabat Luar Negeri Parti Komunis China.
Setiausaha AS itu menegaskan sekarang ini bukan masa untuk menyebarkan maklumat yang tidak tepat dan desas-desus aneh, melainkan semua negara bekerjasama memerangi ancaman ini,” kata Ortagus.
Amerika Syarikat pada hari Jumaat lalu memanggil Duta Besar China untuk melahirkan protes terhadap kenyataan Beijing yang mencadangkan tentera AS mungkin membawa koronavirus ke Wuhan.
Protes itu disampaikan oleh David Stilwell, diplomat AS untuk Asia Timur kepada Duta Besar China, Cui Tiankai.
CCTV melaporkan, Yang telah memaklumkan kepada Pompeo bahawa sebarang usaha untuk memburuk-burukkan usaha China untuk mengawal koronavirus “tidak akan berjaya” dan sebarang tindakan yang merugikan kepentingan China akan dibantah.
Koronavirus dikesan di China hujung tahun lalu dan kini merebak di kebanyakan negara, menjejaskan pasaran kewangan, mengakibatkan penerbangan dihentikan, sekolah-sekolah ditutup dan semua perhimpunan termasuk acara sukan dan seni ditangguhkan.
Seramai 174,000 orang di seluruh dunia telah dijangkiti wabak ini dengan 6.700 kes kematian termasuk 71 kes maut dan 4.100 kes jangkitan di AS. – MalaysiaGazette