Home Nasional Perintah Kawalan Pergerakan tidak jejas perkhidmatan bas, tren

Perintah Kawalan Pergerakan tidak jejas perkhidmatan bas, tren

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua operasi perkhidmatan tren dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan beroperasi seperti biasa esok.

Esok adalah hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan selama 14 hari bertujuan mencegah wabak Covid-19.

Perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang/Sri Petaling; MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang, Laluan Monorel, Bas Rapid Transit Laluan Sunway dan perkhidmatan bas henti-henti Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan, Rapid Kamunting dan Rapid Manjung akan beroperasi dengan jadual kekerapan hari bekerja.

Bagaimanapun, pemantauan akan dibuat kemudian untuk memastikan kesesuaian jadual kekerapan yang digunakan.

“Memandangkan perintah pergerakan terhad ini diarahkan buat pertama kali, kami perlu memastikan kekerapan yang sesuai kerana belum dapat memastikan jumlah penumpang yang akan menggunakan perkhidmatan kami pada hari esok dan sepanjang tempoh perintah pergerakan terhad ini,” kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Muhammad Nizam Alias dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Pengangkutan khususnya Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sebelum sebarang keputusan diambil berhubung dengan kekerapan perjalanan tren dan bas kendalian Prasarana itu.

Muhammad Nizam turut mengesahkan Pusat Konsesi Hab Bas Pasar Seni akan dibuka seperti biasa untuk kemudahan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), pelajar dan warga emas mendapatkan diskaun 50 peratus untuk perjalanan mereka. – MalaysiaGazette