Home Ekonomi Maybank dilantik panel PTPTN

Maybank dilantik panel PTPTN

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malayan Banking Berhad (Maybank) yang dilantik sebagai bank panel untuk PTPTN mensasarkan untuk menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 60,000 mahasiswa baharu menjelang 2018.

Dengan pelantikan itu, Maybank akan menyediakan perkhidmatan pembayaran pinjaman PTPTN kepada para penuntut di universiti- universiti awam dan swasta.

Buat masa ini Maybank memperoleh penyertaan daripada lima universiti yang mengambil bahagian di bawah pelantikan PTPTN melibatkan lebih 6,000 penuntut.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan yakin Maybank adalah platform pembayaran komprehensif yang akan menarik lebih banyak universiti.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), dihadiri oleh Datuk Ir Abdul Rahim Hashim, Naib Canselor UTP dan Mastura Mohd Khalid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Dasar dan Operasi PTPTN.

Pada majlis sama, UTP secara rasminya melantik Maybank sebagai bank panel bagi PTPTN, yang akanmenyediakan perkhidmatan pembayaran pinjaman PTPTN kepada para penuntutnya.

Berikutan majlis perjanjian tersebut, Maybank turut melancarkan Lounge Kampus ketujuhnya, iaitu lounge Maybank@UTP, sebuah pusat kewangan interaktif demi memenuhi keperluan
mahasiswa dan komuniti kampus.

Di lounge ini, para pelanggan boleh membuat pendaftaran akaun simpanan peribadi dengan permulaan deposit sebanyak hanya RM10 dan menikmati perkhidmatan lain seperti membuat permohonan kad debit, Maybank2u dan produk insurans dan pinjaman terpilih.

Selain itu, Maybank@UTP akan menjadi tumpuan kepada pelbagai acara cilik kewangan seperti Maybank Money Matters dan bual bicara bulanan tentang perancangan kewangan oleh pakar kewangan. – MalaysiaGazette