Home Sukan Liga Super: Kedah, UiTM kembali bernafas

Liga Super: Kedah, UiTM kembali bernafas

Foto Facebook FA Kedah

KUALA LUMPUR – Tiga pasukan berjaya meraih kemenangan dalam perlawanan keempat CIMB Liga Super 2020 pada minggu lalu dengan menyaksikan Kedah dan UiTM FC akhirnya membawa pulang tiga mata pertama sebelum saingan Liga Malaysia ditangguhkan susulan penularan wabak COVID-19.

Kedah, UiTM FC dan Pahang antara pasukan yang berjaya meraih tiga mata pada perlawanan minggu lalu manakala pendahulu liga setakat ini iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal meneruskan rentak kemenangan apabila seri 1-1 kepada Felda United.

Sudah pasti ia satu kemenangan yang cukup berharga terutamanya buat Kedah apabila berjaya menewaskan Selangor 2-0 dan UiTM FC mengatasi PDRM 3-1 selepas masing-masing mengalami dua kekalahan dan satu seri dalam tiga perlawanan pertama sebelum ini.

Menurut pengendali Kedah Aidil Sharin Sahak, kemenangan ke atas Selangor semalam bukanlah terhasil daripada perubahan taktikal yang dilakukannya sebaliknya merupakan kerja keras daripada semua pemain yang sudah lama menginginkan tiga mata sekali gus memberikan kekalahan pertama kepada skuad kendalian B.Sathianthan itu.

Walaubagaimanapun, Aidil enggan pemain mengambil mudah setiap perlawanan selepas ini kerana bukan mudah untuk mengekalkan momentum apatah lagi selepas saingan Liga Malaysia ketika ini terpaksa ditangguhkan ekoran isu wabak COVID-19 yang semakin merebak pantas di seluruh dunia.

“Alhamdulillah kami berjaya mendapatkan tiga mata dan ini adalah hasil daripada usaha keras semua pemain kerana mereka sedar menentang Selangor bukanlah mudah apatah lagi Selangor belum pernah tewas sebelum ini.

“Saya rasa ini bukan pasal taktikal saya, tetapi motivasi semua pemain yang inginkan kemenangan kerana dalam tiga perlawanan sebelum ini, kita bukannya bermain tidak bagus, tetapi kita hanya tidak bernasib baik untuk menjaringkan gol dan memburu kemenangan.

“Dengan perlawanan selepas ini ditangguhkan, kami mempunyai rehat yang panjang dan nak kekalkan momentum itu bukan mudah di mana mereka kena kerja lebih keras selepas satu kemenangan ini selain harus menjaga tahap fizikal dan kecergasan dengan lebih baik”, katanya.

Dalam pada itu, Sathianathan akan menilai semula prestasi pemain-pemainnya dan kekalahan itu sememangnya berpunca daripada hilangnya fokus selepas ketinggalan dengan dua jaringan pada babak pertama perlawanan.

Sudah pasti, beliau akan mengambil peluang dalam tempoh masa yang ada sepanjang saingan ditangguhkan untuk memperbaiki kelemahan pasukan termasuklah daripada aspek pertahanan dan penilaian semula pemain import yang gagal memberi impak kepada pasukan.

“Perlawanan ini kita tidak bermain dengan baik dan hanya berjaya kawal perlawanan dalam 20 minit pertama sahaja, tetapi setelah lawan mendapat gol pada babak pertama, pemain sudah mula hilang arah.

“Untuk separuh masa kedua, pemain saya mampu bangkit dan bermain dengan lebih agresif tetapi sayangnya tiada idea yang tepat untuk mereka menghasilkan gol.

“Ramai yang bermain di bawah tekanan dan saya rasa sepatutnya mereka tidak perlu berasa tertekan kerana stadium juga kosong dan tiada penonton, tetapi mungkin kesilapan saya kerana saya percaya pada sesetengah pemain yang boleh bermain dalam waktu kritikal di atas padang, tetapi mereka tidak ada kali ini”, jelasnya.

Dalam perlawanan lain menyaksikan pasukan Melaka berdepan kekalahan kedua selepas tewas 1-0 kepada Pahang di Stadium Hang Jebat meletakkan Melaka di tangga ketiga liga setakat ini manakala Sabah seri 2-2 dengan Perak yang menyaksikan skuad kendalian Mehmet Durakovic itu masih konsisten tanpa kekalahan untuk berada di kedudukan kedua. – MalaysiaGazette