Home Nasional SPRM beroperasi seperti biasa

SPRM beroperasi seperti biasa

Azam Baki

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diteruskan seperti biasa namun tertakluk kepada Garis Panduan Pencegahan Penularan Penyakit Berjangkit COVID-19 yang terpakai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tersebut berkuat kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, demi kepentingan awam, suruhanjaya itu telah melaksanakan larangan kehadiran pihak luar di premis SPRM kecuali bagi individu-individu seperti berikut:

i. Saksi yang dipanggil untuk ditemu bual/ diambil penyataan bagi membantu proses siasatan tanpa kelengahan;
ii. Individu yang ditangkap oleh SPRM bagi maksud siasatan;
iii. Individu yang ditangkap oleh SPRM bagi maksud sambung jamin;
iv. Pengadu/pemberi maklumat; dan
v. Lain-lain individu yang perlu berjumpa dengan pegawai SPRM tanpa kelengahan bagi tujuan siasatan.

“SPRM mengambil maklum mengenai penularan wabak Corona Virus Disease 19 (COVID-19) yang telah meningkat secara mendadak dan merujuk kepada Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Mac 2020.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dan telah pun mengambil langkah-langkah pencegahan penularan penyakit berjangkit berkenaan di semua pejabat SPRM seluruh negara.

“Sama-samalah kita mendoakan agar kita semua dilindungi Allah SWT dan usaha pencegahan COVID-19 ini dipermudahkan serta keadaan negara akan kembali seperti sedia kala,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette