Home Nasional Kisah si pesakit Covid-19 dari kluster tabligh

Kisah si pesakit Covid-19 dari kluster tabligh

Gambar hiasan

LABUAN-  Bagi Umar Faruq (bukan nama sebenar), 54, ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur baru-baru ini adalah seperti tahun-tahun sebelum ini, dengan dalam dan luar masjid itu penuh sesak dengan ribuan jemaah tabligh dari dalam dan luar negara.

Kesesakan lebih terasa terutamanya apabila ‘bayan’ (program ceramah) dimulakan dengan mereka duduk rapat-rapat. Begitu juga masa makan, keadaan hampir sama dan menjadi kelaziman untuk jemaah tabligh makan bersama atas satu talam bulat besar yang boleh dikongsi lima orang.

Masa tidur pula, menurut Umar, jemaah Markaz Labuan yang ditempatkan dalam masjid akan tidur dalam masjid, dan begitulah juga dengan jemaah lain yang disediakan khemah akan beristirehat dan tidur bersama dalam khemah-khemah.

Namun, tidak dinafikan jemaah tabligh Malaysia yang paling ramai dan yang paling mesra dan dilihat bersalam dan berpelukan antara satu sama lain khasnya dengan jemaah luar negara yang boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris atau Arab.

Gambaran yang dikongsi oleh Umar akan perhimpunan Ijtimak Jord Qudama dan Ulama Malaysia di Masjid Jamek Sri Petaling – anjuran Markaz Tabligh Malaysia Sri Petaling pada 28 Feb hingga 2 Mac lepas jelas menunjukkan jemaah ambil mudah atau kurang sedar akan ancaman jangkitan COVID-19.

Ijtimak itu yang bermula sebagai satu bicara minda keagamaan berakhir sebagai kluster besar jangkitan COVID-19 yang menyumbang kepada peningkatan mendadak dalam bilangan mereka yang dijangkiti virus itu di Malaysia.

Umar telah menyertai ijtimak di Masjid Jamek Sri Petaling sebanyak tiga kali termasuk pada tahun ini.

“Saya dan rakan-rakan tabligh lain hanya berkomunikasi antara satu sama lain bertanyakan khabar dan berkongsi pengetahuan agama dan tidak melibatkan jemaah luar negara,” katanya.

Umar berada di Masjid Jamek Sri Petaling sehingga 2 Mac iaitu selepas tamatnya program itu (sebelum waktu solat Zuhur) dan hanya kembali ke rumah di Labuan pada 4 Mac.

“Saya berada dalam keadaan sihat sekembali dari Kuala Lumpur, cuma sehari selepas itu saya mengalami batuk dan selesema, namun tidak menyangka apa-apa.

“Sehinggalah saya terbaca kiriman mesej WhatsApp daripada rakan berhubung seorang ahli tabligh dari Brunei disahkan positif COVID-19 dan atas nasihat isteri, saya terus ke unit kecemasan Hospital Labuan pada pagi 11 Mac

“Setelah pegawai kesihatan mendengar penjelasan saya telah menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, saringan terus dilakukan dan mereka meminta saya menjalani kuarantin di bilik isolasi… bersama seorang rakan saya.”

Umar dan rakannya dikuarantin selama enam hari bermula 11 Mac selepas  keputusan sampel diambil dari dalam hidung dan kerongkong mendapati mereka bebas virus itu.

“Sepanjang tempoh kuarantin, saya dan rakan saya diminta memakai topeng mulut dan hidung sepanjang masa, dan diberikan ubat demam, batuk dan selesema setiap hari.

“Setiap pagi dua pegawai kesihatan datang memeriksa kesihatan kami iaitu pernafasan, suhu badan dan tekanan darah dan selalunya pada sebelah petang, kami akan dihubungi melalui telefon bimbit kami oleh pegawai perubatan bertanyakan keadaan kesihatan.

“Kami lihat empat lagi ahli tabligh masuk untuk dikuarantin, tidak seperti kami yang lain, seorang daripada mereka berempat diambil sampel darahnya dan tidak lama selepas itu, saya mendapat tahu beliau positif COVID-19, saya doakan semoga beliau akan sembuh.

“Saya bersyukur kehadrat Allah SWT, saya amat gembira selepas dimaklumkan, ujian ke atas sampel yang diambil dari dalam hidung dan kerongkong saya menunjukkan tidak ada jangkitan COVID-19,” katanya.

Labuan merekodkan empat kes COVID-19, dan kesemua kes dikaitkan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling.

Sehingga hari ini, usaha masih berterusan untuk menjejaki saki baki jemaah yang menyertai ijtimak tabligh itu yang belum membuat saringan, dan dipercayai lebih 10,000 orang telah menyertai perhimpunan tabligh itu.

Sejumlah 4,942 peserta menghadiri perhimpunan itu berjaya dikenal pasti sehingga 7 malam pada 17 Mac.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu seramai 3,069 peserta datang sendiri ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan saringan dengan 137 individu dirujuk ke hospital.- BERNAMA