Home Politik Anwar bidas Pas putuskan hubungan, nafi PKR khianat

Anwar bidas Pas putuskan hubungan, nafi PKR khianat

Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan Pas yang membuat keputusan memutuskan hubungan dengan PKR dengan mempersoalkan alasan diberikan pimpinan parti Islam itu.

Bekas ketua pembangkang itu tidak berpuas hati dengan alasan diberikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyalahkan PKR berhubung isu RUU355 (Rang undang-undang persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah 1965) sebagai punca kepada keputusan memutuskan hubungan tersebut.

“Namun, saya musykil kerana alasan yang diberikan tidak tepat, terutama dalam kaitan dengan RUU355.

“Ternyata pimpinan Pas tidak meneliti kenyataan saya dan Presiden PKR yang menghormati hak Tuan Guru Datuk Seri Hadi Awang dan mengusulkan supaya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar seterusnya mempersoalkan mengapa Pas menyalahkan PKR dalam isu RUU355 walhal kerajaan sudah memutuskan mereka tidak akan membawa usul tersebut.

“Malah Datuk Seri Najib Razak lah yang menegaskan bahawa Kerajaan UMNO-BN tidak akan membawa RUU355 sebagai urusan kerajaan, yang bermakna RUU355 akan terkubur.

“Anehnya UMNO tidak dipersalahkan kali ini. PKR ternyata telah berusaha dan menzahirkan segala daya untuk mengekalkan muafakat politik tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar juga menegaskan, bukan PKR yang mengkhianati prinsip tahaluf siyasi seperti yang didakwa oleh Pas.

“Saya mengulangi kenyataan Presiden PKR bahawa PKR tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi semenjak terbentuknya muafakat politik walaupun ada pihak yang mentohmah PKR dengan tohmahan yang tidak adil dan tidak wajar,” katanya. – MalaysiaGazette