Home Utama Tolonglah, saya merayu sekali lagi duduk diam-diam di rumah – Perdana Menteri

Tolonglah, saya merayu sekali lagi duduk diam-diam di rumah – Perdana Menteri

Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Kerajaan merayu agar rakyat negara ini tinggal di rumah dan tidak keluar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan yang mula berkuatkuasa pada hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan ini kerana tujuan pelaksanaan perintah itu agar orang ramai tidak perlu bergerak ke sana sini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, sekolah, universiti dan sebahagian pejabat, premis perniagaan dan kilang ditutup supaya golongan terbabit tidak perlu bersesak-sesak dalam Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT) atau bas untuk ke tempat kerja.

Pada masa sama tambah beliau, golongan pekerja juga tidak perlu bersesak di kantin atau kedai makan di waktu rehat tengahari.

“Anak-anak tidak perlu pergi ke sekolah, tidak perlu mengikuti aktiviti sukan dan lain-lain yang boleh mendedahkan mereka kepada jangkitan virus COVID-19. Selama tempoh dua minggu ini, saudara-saudari dan anak-anak hanya perlu berada di rumah. Just stay at home. Luangkan masa bersama anak, isteri dan ahli keluarga.

“Tidak perlu keluar ke mana-mana. Dengan cara ini saudara-saudari terhindar daripada jangkitan COVID 19 dan penularan wabak ini Insya-Allah dapat dibendung. Inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya dalam perutusan khas Covid-19 di sini malam ini.

Muhyiddin menegaskan, tujuan Perintah Kawalan Pergerakan bukan untuk membolehkan sorang balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasaraya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan.

Jelas beliau, senario itu dapat dilihat semalam ramai yang balik ke kampung apabila lebuhraya sesak dengan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan timur. Stesen bas juga sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung.

“Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah. Stay put where you are. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru.

“Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang. Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja.

“Kenapa? Kerana kita hendak putuskan rantaian jangkitan. We want to break the chain of infection. Supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak COVID-19 ini dapat dikurangkan,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Eloklah jangan bersosial sangat, kalau mati kerana Covid, sampai dah nak masuk kubur pun orang tidak boleh hendak melawat kamu.

Comments are closed.