KUALA LUMPUR – Pembawa wabak (carrier) lebih bahaya daripada pesakit (host) kerana mereka tidak menunjukkan simptom (seperti pesakit) tetapi tetap boleh memindahkan wabak kepada orang lain terutamanya yang sistem imunisasi lemah.
Bagaimanapun gelombang awal wabak, pembawa adalah dari China, negara dimana bermulanya wabak.
Lebih bahaya adalah kerana virus sudah ada dalam badan pembawa tetapi tidak menunjukkan simptom dijangkiti seperti pada pesakit iaitu individu asimptomatik.
Situasi ini sama seperti kuman AIDS yang berada sehingga 10 tahun dalam badan pembawa tanpa diketahui.
Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UPM, Prof Madya Dr Juliana Jalaludin, berkata, kebanyakan pembawa atau agen ini tidak menunjukkan sebarang simptom Covid-19 malah dilihat sihat tetapi akhirnya mereka akan disahkan juga wabak berkenaan.
Bagaimanapun katanya, pembawa wabak boleh memindahkan wabak itu kepada golongan yang mempunyai imunisasi badan yang lemah seperti warga emas, penghidap diabetes atau penyakit kronik lain.
“Malah merokok juga menyebabkan imunisasi badan menurun dan penyebab mudah dijangkiti virus.
“Malah dalam kajian terbaru di Wuhan, China menerusi 2,000 sampel menunjukkan golongan darah jenis A mempunyai potensi tinggi dijangkiti wabak Covid-19.
“Kita juga mohon agar Kementerian Kesihatan dedahkan maklumat statistik dan profil pesakit supaya semua pihak yang berkenaan dapat mengkaji dan menyelidik corak (pattern) penularannya.
“Ketika ini sudah lebih 700 kes rakyat Malaysia masih tidak tahu corak penularannya. Tumpuan kajian juga seharusnya kepada hal-hal lain yang menjadi keutamaan sasaran virus ini.
“Dalam bahasa mudah, apakah yang disukai dan dibenci oleh virus ini.
“Cadangan tindakan awal selain mengamalkan kebersihan diri, kita juga perlu menguatkan imunisasi atau daya tahan penyakit,” katanya.
Dr Juliana tidak menolak kemungkinan Kementerian Kesihatan sedang menyediakan pangkalan data profil pesakit, supaya boleh dijadikan rujukan bagi orang awam menghadapi, membendung dan menamatkan kebimbangan dan kegentaran ini.
Lebih penting lagi pengkalan data ini boleh digunakan bagi kajian serta penyelidikan lanjut oleh semua pihak yang berminat misalnya dalam aspek identifikasi DNA.
Pengesahan maklumat DNA penting bagi menentusahkan hipotesis sama ada wujud atau tidak pengaruh atau kekangan daripada DNA dapat segera dikenalpasti.
“Pertama, kerana corak kumpulan atau kelompok DNA di setiap negara umumnya berlainan.
“Contohnya, kenapakah orang Melayu atau bangsa lain tidak menjadi pilihan pada peringkat pertama penularan virus
“Bagaimanapun jika ada statistik bangsa dan negara pesakit di seluruh dunia amat membantu mengenal lebih mendalam lagi mengenai virus ini,” katanya.
Tambahnya, diketahui bahawa faktor pemakanan serta faktor-faktor lain turut mempengaruhi pembentukan DNA seseorang.
“Adakah corak pemakanan yang berbeza bagi bangsa yang berbeza (kelompok DNA yang berbeza) menjadi faktor?
“Contohnya adakah DNA Melayu yang tidak sama dengan DNA China ada kaitannya dengan budaya pemakanan?
“Selanjutnya adakah terdapat ciri ciri tertentu pada DNA yang menjadi keutamaan pilihan bagi virus ini?
“Mungkin dengan memahami corak DNA berkenaan boleh membantu dari segi pencegahan, rawatan dan pemulihan,” katanya.
Dua negara yang diketahui masih bebas daripada virus ini adalah Turki dan Montenegro.
Selain dipercayai kedua negara itu telah mengambil langkah terlalu awal menyekat kemasukan virus ini, juga dipercayai ada sebab lain.
Apakah yang membezakan rakyat Turki dengan rakyat Malaysia? Salah satunya sudah tentulah kelompok DNA mereka yang berbeza.
Pandemik wabak ini adalah kepentingan awam maka sepatutnya diberi peluang dan capaian kepada sesiapa sahaja yang mahu cuba membantu.
Memang diketahui ada perbezaan antara gelombang pertama dan gelombang kedua iaitu gelombang pertama dibawa daripada negara punca, manakala kedua pula daripada jangkitan.
Gelombang ketiga dijangkakan virus yang telah bermutasi, lebih daya tahan, lebih berkeupayaan menyesuaikan diri malah ditakuti virus itu boleh hidup semula walau telah disahkan telah mati.
Negara China dilihat telah pun berjaya mengurangkan penularan virus ini. Adakah kita bersedia menghadapi gelombang ketiga?
Walau apa pun pandangan kita, amalan penjagaan kebersihan pada tahap paling maksimum kerana pencegahan telah banyak terbukti berkesan serta ikut arahan Kerajaan pada masa ini.
Patuhi arahan Perdana Menteri kita. ” Jangan Keluar jalan-jalan, duduklah diam-diam di rumah” dalam tempoh kawalan pergerakan ini..Ambil iktibar dari apa yg berlaku di Itali. – MalaysiaGazette