Home Utama Tentera mungkin dikerah sekiranya rakyat masih ingkar – Ismail Sabri

Tentera mungkin dikerah sekiranya rakyat masih ingkar – Ismail Sabri

Anggota polis memeriksa lesen kenderaan ketika membuat sekatan jalan raya pada OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdanan Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Jalan Khoo Kai Kim, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 18 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Anggota tentera mungkin akan dikerahkan sekiranya tahap pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 kekal berada di tahap rendah.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini antara cadangan diketengahkan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri mengenai perintah berkenaan.

Bagaimanapun, Bernama melaporkan Ismail Sabri berkata, setakat ini kerajaan yakin polis masih mampu membuat kawalan.

Sementara itu, dalam sidang media khas itu juga, Menteri Kanan itu tidak menolak mengenakan undang-undang lebih ketat sekiranya rakyat masih gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa mulai semalam sehingga 31 Mac ini.

Ini kerana, hanya 60 peratus sahaja rakyat Malaysia yang mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa sepenuhnya semalam.

Lantaran itu, polis terpaksa mengadakan sekatan-sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan orang ramai di bandar dan di luar bandar.

Katanya, semalam sahaja sebanyak 504 sekatan jalan raya dibuat dengan 6,135 kenderaan diperiksa.

Oleh itu, beliau berharap seluruh rakyat mematuhi perintah berkenaan yang diwujudkan demi menjaga kesihatan dan nyawa orang ramai.

”Daripada laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kes baru bertambah setiap hari. Walaupun kita berdoa tiada kematian tetapi sudah ada dua kes.

”Kerajaan berharap rakyat duduk di dalam rumah bagi mengelak dijangkiti atau menjangkiti, cuba mendisiplin diri dan tidak keluar beramai-ramai,” katanya dalam sidang media di sini.

Tambahnya, pada masa ini polis boleh masih berhemah dengan menasihati orang ramai melalui pengumuman-pengumuman dan hebahan-hebahan.

”Tetapi kalau pematuhan tidak meningkat, polis terpaksa undang-undang lebih tegas,” katanya. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Bagi waktu utk keluar cari barang keperluan kalau tidak tiap2 masa lah ada orang keluar alasan nk cari barang

  2. Elok juga guna kuasa ATM sekali sekala dengan tegas memandangkan ada suara2 sumbang sebelum ini bercakap ATM tak ada kerja kasi tunjuk sikit kuasa tentera kepada puak2 yg keras kepala ini..

  3. Setuju,dah cakp baik2 di perlekehkan..cuba buat sekali baru tau langit tinggi rendah,sblm ni ada yg berbunyi tentera tak buat kerja kan.

Comments are closed.