KUALA LUMPUR – Sejak menjadi pemandu teksi sejak tahun 1985, ini merupakan pertama kali Hasanudin Jamaludin, 57, berhadapan dengan Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung wabak Covid-19.
Hari kedua perintah itu berkuatkuasa, menurut beliau, orang awam di KL Sentral yang sebelum ini menjadi tumpuan sebagai pusat laluan pelbagai pengangkutan awam, semakin berkurangan dan keadaan jadi lengang.
Keadaan yang disifatkannya ini di luar kelaziman itu turut menjejaskan 90 peratus pendapatan Hasanudin sebagai pemandu teksi.
Namun beliau sedar, tindakan ini diambil kerajaan demi kebaikan dan nyawa rakyat keseluruhannya agar terhindar daripada Covid-19.
“Hari kedua keadaan di sini makin lengang, orang makin kurang, 90 peratus merosot pendapatan saya, biasanya dari pagi sampai pukul 11 dapat tiga kali trip, sampai sekarang dari pagi tadi kami di sini belum dapat satu trip.
“Tapi kalau tidak disekat pergerakan orang tambah merebak (Covid-19) jadi kalau disekat begini Insya Allah akan berkurangan.
“Bagus juga kerajaan buat begini. Buat sementara selepas itu kita boleh bergerak seperti biasa,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui hari ini.
Beliau turut merancang untuk tidak membawa teksi buat sementara waktu sekiranya tidak menerima pelanggan memberangsangkan sebaliknya mahu mengambil kesempatan pada waktu begini untuk meluangkan masa dengan anak dan cucu di rumah.
“Kalau seminggu berterusan begini saya tidak akan bawa teksi buat sementara, diam di rumah pasal keluar buang masa lebih baik di rumah bermain dengan anak cucu, di sini pun kita terdedah.
“Kalau disekat semua orang ikut perintah mudahan habislah wabak ini. Sebab wabak ini bukan di sini sahaja, di negara lain pun ada,” tambahnya.
Sementara itu, pegawai bank, Wan Ahmad Izat Wan Ahmad Sanadi, 28, pula berkata perintah kerajaan perlu dipatuhi kerana ia melibatkan kepentingan nyawa.
Katanya, rakyat perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya kepada keselamatan diri sendiri namun tidak menyalahgunakan kesempatan ini untuk pulang ke kampung sebaliknya mengisolasikan diri di rumah sendiri.
“Saya amat setuju untuk kita duduk di rumah tidak keluar, kerana sebenarnya untuk mengelakkan penularan bermula daripada diri kita sendir.
“Perkara melibatkan nyawa, apa juga berkaitan kita nak berkumpul, buat perjumpaan kita kena utamakan nyawa dulu. Rancanglah aktiviti terbaik yang boleh dibuat di rumah dengan keluarga,” katanya.
Wan Ahmad Izat dalam pada itu memaklumkan syarikatnya menguatkuasakan sistem bekerja dari rumah hari ini meskipun di sektor perbankan yang dibolehkan untuk meneruskan operasi.
Namun ujarnya majikannya sedar perkembangan semasa yang melihat keperluan untuk memberikan kelonggaran kepada pekerja mengurangkan pergerakan.
“Hari ini syarikat saya bekerja mulakan bekerja dari rumah, jadi pergi ke pejabat ambil keperluan. Sepatutnya masih bekerja tetapi selepas perutusan Perdana Menteri semalam majikan kami mengambil kesempatan untuk bekerja dari rumah,”tambahnya.
Dalam pada itu, Izati Rosli, 28, menyokong seruan dan rayuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam untuk rakyat tidak ke mana-mana buat sementara waktu ini termasuklah pulang ke kampung.
Beliau bekerja sebagai kerani namun diberikan cuti oleh majikannya selama dua minggu memaklumkan kedatangannya bersama dua lagi rakan ke KL Sentral untuk membuat refund dari ETS selepas membatalkan perjalanan ke Hatyai hujung bulan ini.
Meskipun disekat ke luar negara, namun kata beliau, kerajaan tidak berlaku zalim sebaliknya syarikat pengangkutan yang berkaitan memberikan kelonggaran kepada pelanggan untuk mendapatkan semula wang mereka.
Meskipun terpaksa membatalkan hasrat melancong buat masa ini dalam masa yang sama tidak dapat balik ke kampung, namun Izati tidak kecewa sebaliknya bersedia bekerjasama dengan kerajaan dengan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang akan berakhir pada 31 Mac akan datang.
“Kami datang ambil refund ETS sepatutnya kami ke Hatyai hujung bulan ini tapi sebab tempoh kawalan jadi dibatalkan. Kami memang tidak akan ke mana-mana kami tidak akan balik kampung sebab akan berjaga-jaga,” katanya.
Tinjauan MalaysiaGazette ke Stesen MRT Muzium Negara turut mendapati orang awam sangat kurang menggunakan pengangkutan awam itu.- MalaysiaGazette